
PETALING JAYA: Penyanyi, Aina Abdul, masih menyimpan duka selepas kucing kesayangannya, Hiro, pergi buat selama-lamanya ketika dia sedang sibuk membuat persiapan untuk malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL).
Kesibukan memenuhi tuntutan kerja menyebabkan Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani terpaksa memendam kesedihan berikutan kehilangan ‘anak’ yang menemaninya sepanjang dua tahun lalu.
“Saya sedang membuat persiapan AJL sewaktu kehilangan kamu. Jadi mama terpaksa pendam sakit dan sedih itu. Bila mama bersendirian, mama akan menangis.
“Sebelum ini kawan-kawan mama hampir semua dah rasa (kehilangan kucing), jadi saya selalu tertanya-tanya betapa sukarnya perasaan itu? Sekarang baru saya tahu. Kesakitannya sangat sunyi. Saya dapati diri saya menangis tanpa sedar,” tulisnya menerusi hantaran Instagram.
Menceritakan detik-detik terakhir sebelum Hiro pergi, Aina berkata, dia sempat membawa kucingnya itu ke klinik veterinar untuk menjalani prosedur rawatan.
Bagaimanapun, naluri kuat sebagai ‘ibu’ membuatkan hatinya tidak tenang untuk pulang ke rumah, sebaliknya memilih menunggu di hadapan klinik berkenaan selama kira-kira dua jam.
“Mama tunggu kamu dua jam walaupun sepatutnya mama boleh balik sahaja Hati mama tak tenang.
”Mama kesian kamu seorang diri dekat veterinar, persekitaran baharu, mesti kamu tak selesa. Selepas dua jam, doktor panggil mama dan beritahu jantung Hiro sudah terhenti,” katanya.
Bagi Aina, kehadiran Hiro sepanjang dua tahun bukan sekadar sebagai haiwan peliharaan, malah kucing itu mengajarnya erti kasih sayang, kesabaran dan ketenangan dalam menjalani kehidupan.
Malah, Aina turut mengimbau rutin harian mereka, termasuk memandikan Hiro serta mengelap kesan air matanya yang kini hanya tinggal kenangan.
“Dua tahun Allah SWT pinjamkan awak dekat mama. Awak lebih daripada seekor kucing di mata mama. Awak ajar mama macam mana nak berkasih sayang, bagaimana hidup dengan sabar dan tenang.
“Mama masih belajar untuk reda. Maaf mama ambil masa lama untuk faham sakit ini. Saya akan okey, Hiro. Awak adalah ‘Hiro’ (wira) saya. Bye, sayang,” coretnya. -UTUSAN
The post Aina Abdul sebak kucing kesayangan pergi ketika persiapan AJL appeared first on Utusan Malaysia.


![Wanita Terharu Pak Guard Klinik Kesihatan Gigih Berdiri Depan Kereta, Tolong ‘Jaga’ Anak Sedang Tidur [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/pak-guard-bantu-tolong-tengok-anak-tidur-dalam-kereta_netizen_4.jpg?t=1785984266)
