
PUTRAJAYA – Titisan air mata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang gugur ketika menyaksikan pengebumian isteri tercinta, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini tadi meruntun jiwa orang ramai.
Manakan tidak, Dr. Mahathir sebelum ini dikenali sebagai seorang tokoh hebat dan berwibawa, namun hari ini air matanya gugur tatkala menghantar isteri tercinta ke negeri abadi.
Kesedihan ditunjukkan beliau hari ini sekali gus menterjemahkan rasa kasih dan sayangnya terhadap Allahyarham selepas berkongsi kasih selama 70 tahun.
Sementara itu, orang ramai turut bersedih dan hiba melihat kesedihan Dr. Mahathir sepanjang pengebumian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah.
“Aku tak boleh tahan tengok Tun sedih macam ni,” komen seorang pengguna TikTo, Zabrina Nasar pada satu hantaran video.
“Ini lah kesedihan seorang suami yang terlalu sayangkan isterinya yang melayari suka duka kehidupan selama 70 tahun,” komen pengguna TikTok, Rozi.
“Selama jiwanya kental, ini kali kedua saya melihat Tun M menitiskan air mata pertama di Persidangan UMNO umum letak jawatan dan hari ini. Semoga Tun M terus tabah dan Allah berikan kesihatan yang baik buat Tun M,” komen seorang lagi pengguna.
Terdahulu, jenazah Tun Dr. Siti Hasmah selamat dikebumikan dengan penuh Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara dekat Presint 20 di sini kira-kira pukul 6.20 petang.
Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi dikebumikan berhampiran pusara isteri bekas Perdana Menteri, Tun Endon Mahmood.
Istiadat pengebumian itu diketuai Kapten Ahmad Saufi Md. Isa dari Markas Tentera Darat selain disertai lapan pegawai daripada gabungan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Istiadat pengebumian itu disempurnakan selepas jenazah dibawa ke Pusara Negara usai solat jenazah dekat Masjid As-Syarif di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan kira-kira pukul 4.30 petang tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Air mata Tun M gugur di pusara isteri tercinta appeared first on Kosmo Online.




![[VIDEO] Gagal peperiksaan, Tun M tawar tuisyen percuma kepada Tun Siti Hasmah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-28-at-11.28.45-PM-1024x650.jpeg)
