johardy13/08/2026 - 18:13 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Ogos - AirAsia Group Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia X Bhd, mencatatkan kerugian bersih pada suku kedua, terjejas akibat lonjakan harga bahan api jet susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat, selain kerugian pertukaran asing.
Kumpulan penerbangan itu mencatatkan kerugian bersih RM527.16 juta bagi suku berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), meningkat daripada kerugian RM154.9 juta pada suku sebelumnya, menurut pemfailannya kepada Bursa Malaysia pada Khamis.
Susulan prestasi lemah suku berkenaan, AirAsia Group merancang mengurangkan kapasiti tempat duduk antara 20% hingga 25% tahun ke tahun pada suku ketiga — yang secara tradisinya merupakan tempoh paling lemah bagi perjalanan serantau — sebelum memulihkan kapasiti pada suku keempat bagi memenuhi permintaan perjalanan akhir tahun.
Kumpulan itu berkata, kerugian pada suku berkenaan terutamanya disebabkan perbelanjaan bahan api yang melonjak 58% tahun ke tahun apabila purata harga bahan api jet meningkat kepada AS$183 (RM747.92) setong.
Tidak termasuk kerugian bersih pertukaran asing RM330.97 juta susulan penyusutan nilai mata wang tempatan termasuk ringgit, baht Thailand, rupiah Indonesia dan peso Filipina berbanding dolar AS, kerugian bersih kumpulan itu adalah RM499.6 juta.
Hasil berjumlah RM5.09 bilion, menjadikan hasil terkumpul bagi enam bulan pertama FY2026 sebanyak RM11.04 bilion susulan penyempurnaan penggabungan perniagaan penerbangan Capital A Bhd pada awal tahun ini.
AirAsia Group tidak menyediakan angka perbandingan tahun ke tahun dalam pemfailan kewangannya berikutan kaedah perakaunan yang digunakan susulan pengambilalihan berbalik AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL).
Tiada dividen diumumkan bagi suku dalam tinjauan.
Operasi Malaysia, Kemboja kekal untung
Dalam kenyataan berasingan, AirAsia Group berkata, tekanan kewangan sebahagian besarnya tertumpu kepada operasi jarak dekat di Thailand, Filipina dan Indonesia serta operasi jarak jauh di Malaysia.
Sebaliknya, operasi teras jarak dekatnya di Malaysia dan Kemboja kekal mencatatkan keuntungan.
AirAsia Group berkata, ia telah menggantung laluan jarak jauh yang tidak menunjukkan prestasi baik, menangguhkan pelancaran hab yang dicadangkan di Bahrain serta menyusun semula operasi di Filipina dan Indonesia dengan mengurangkan peruntukan pesawat bagi memberi tumpuan kepada laluan domestik dan laluan teras ASEAN yang menawarkan hasil lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Bo Lingam berkata, kumpulan itu berjaya menampung kira-kira 70% daripada peningkatan beban kos bahan api sepanjang suku berkenaan menerusi pelarasan tambang secara dinamik dan pengurangan kos bukan bahan api.
Walaupun kelewatan pelarasan tambang pada April mengehadkan pertumbuhan tambang kepada 4% tahun ke tahun disebabkan inventori yang telah dijual lebih awal, beliau berkata, purata tambang meningkat lebih 20% pada Mei dan Jun apabila strategi penetapan harga mula memberi kesan.
"Suku kedua merupakan kemuncak ketidaktentuan pasaran tenaga dan kami menganggap 2QFY2026 sebagai suku terendah kami," kata Bo sambil menambah kumpulan itu tidak menjangkakan harga bahan api jet kekal pada purata AS$183 setong seperti yang dicatatkan sepanjang tempoh berkenaan.
"Apabila harga bahan api kembali normal daripada paras tertinggi 2QFY2026 dengan kadar tambang lebih tinggi yang telah ditetapkan, ekonomi unit kami akan bertambah baik secara semula jadi," katanya.
Bawa 14.16 juta penumpang
Dari segi prestasi operasi, AirAsia Group membawa 14.16 juta penumpang dengan kapasiti 17.81 juta tempat duduk sepanjang suku berkenaan, menghasilkan faktor muatan sebanyak 80%.
Hasil bagi setiap kilometer tempat duduk tersedia (RASK) meningkat 11% tahun ke tahun kepada 21.28 sen.
Kumpulan itu merancang memulangkan 25 pesawat lama kepada pemberi pajak dalam FY2026 bagi mengurangkan kos pajakan, manakala pesawat baharu Airbus A220 dan A321XLR dijadualkan mula diterima pada 2028.
Saham AirAsia Group ditutup rendah satu sen atau 0.99% kepada RM1 pada Khamis, memberikan kumpulan itu nilai pasaran RM3.36 bilion. - DagangNews.com





