LPI Capital catat untung bersih RM66.86 juta pada 2Q26, umum dividen keseluruhan 90 sen sesaham

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2026 • 2:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LPI Capital catat untung bersih RM66.86 juta pada 2Q26, umum dividen keseluruhan 90 sen sesaham Image from: LPI Capital catat untung bersih RM66.86 juta pada 2Q26, umum dividen keseluruhan 90 sen sesaham johardy13/08/2026 - 14:10 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Ogos - LPI Capital Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM66.86 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2Q26), susut daripada RM83.17 juta pada suku sama tahun sebelumnya selepas segmen insurans am merekodkan kerugian nilai saksama bersih daripada pelaburannya.

 

Pendapatan bagi suku berkenaan meningkat kepada RM545.22 juta daripada RM507.64 juta pada 2Q25, disokong oleh pendapatan insurans lebih tinggi daripada segmen insurans am, menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, keuntungan bersih LPI berjumlah RM166.39 juta berbanding RM181.15 juta bagi tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan meningkat kepada RM1.09 bilion daripada RM1.02 bilion.

 

Lonpac Insurance Bhd Group (Lonpac), anak syarikat insurans milik penuh LPI, mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM91.2 juta pada 2Q26, susut 18.1% berbanding RM111.4 juta pada 2Q25.

 

Penurunan itu terutama disebabkan segmen berkenaan mencatatkan kerugian nilai saksama bersih RM1.8 juta berbanding keuntungan nilai saksama bersih RM10.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Premium bertulis kasar (GWP) bagaimanapun meningkat 6.9% kepada RM490.6 juta daripada RM458.8 juta pada 2Q25.

 

Prestasi insurans motor terjejas

Hasil perkhidmatan insurans Lonpac susut 6.9% tahun ke tahun kepada RM81.2 juta. Prestasi pengunderaitan yang lebih rendah itu terutama disebabkan nisbah tuntutan bersih ditanggung meningkat kepada 46.6% berbanding 43.9% pada 2Q25, sebahagian besarnya akibat prestasi kelas perniagaan motor yang merosot.

 

Menurut LPI, kekerapan kemalangan yang lebih tinggi, jumlah pampasan mahkamah yang lebih besar bagi tuntutan kecederaan anggota badan pihak ketiga serta penetapan harga yang tidak mencukupi bagi segmen tertentu perniagaan motor menyebabkan prestasi pengunderaitan motor kumpulan menjadi tidak menentu.

 

“Pendekatan pengunderaitan berhemat dan pengukuhan pengurusan tuntutan merupakan dasar kumpulan bagi memastikan portfolio motor menghasilkan keputusan pengunderaitan yang positif.

 

“Walaupun portfolio insurans motor pada masa ini menyumbang kurang daripada 25% daripada keseluruhan GWP, kumpulan akan berusaha mengembangkan perniagaan motor dalam segmen yang lebih menguntungkan menerusi saluran pengedaran tertentu yang disasarkan,” katanya.

 

Dalam portfolio insurans kebakaran, kumpulan terus mengatasi prestasi industri hasil gabungan risiko yang seimbang merangkumi hartanah kediaman, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komersial dan perindustrian.

 

LPI berkata, kumpulan akan meneroka kerjasama strategik dengan rakan kongsi global baharu bagi memanfaatkan pelaburan langsung asing baharu serta mempergiat usaha jualan silang dengan PBB Group untuk mengukuhkan kedudukan pasarannya dalam perniagaan insurans kebakaran.

 

Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 25 sen sesaham kepada pemegang saham serta dividen khas 65 sen sesaham, menjadikan keseluruhan 90 sen sesaham. Dividen khas itu mewakili sebahagian daripada hasil pelupusan 220.29 juta saham Public Bank Bhd bernilai RM1.05 bilion. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved