johardy13/08/2026 - 09:26 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Ogos - Samaiden Group Bhd menyasarkan potensi penambahan tempahan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sehingga RM1.5 bilion daripada program Solar Berskala Besar 6 (LSS6) sekiranya berjaya memperoleh bahagian yang disasarkannya dalam pelaksanaan program itu, menurut TA Research.
TA Research berkata, selepas mengadakan pertemuan dengan Samaiden Group Berhad baru-baru ini, firma itu menjadi lebih positif terhadap prospek kumpulan berkenaan berikutan pelaksanaan projek LSS5 yang semakin pantas, margin yang kukuh, peluang penambahan tempahan menerusi LSS6 serta sumbangan pendapatan berulang daripada aset tenaga boleh diperbaharui (RE).
Samaiden menyasarkan bahagian antara 15% hingga 20% daripada keseluruhan pelaksanaan LSS6, bersamaan kira-kira 400MWac hingga 530MWac merangkumi pemilikan aset serta kontrak EPCC.
Dengan andaian Samaiden memperoleh kira-kira 300MWac dan 150MWh kerja EPCC LSS6, manakala 100MW dan 50MWh lagi daripada sasaran kumpulan datang daripada pembangunan aset sendiri, TA Research menganggarkan potensi penambahan tempahan EPCC sehingga RM1.5 bilion.
Sasaran itu lebih tinggi berbanding gabungan bahagian EPCC dan aset Samaiden antara 8% hingga 17% dalam kitaran LSS terdahulu. Nilai kontrak EPCC juga dijangka lebih besar kerana kebanyakan pakej LSS6 mewajibkan pemasangan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Pembidaan bagi Pakej 1 dan 2 LSS6 dibuka pada 27 Julai dan ditutup pada 7 Ogos, dengan Samaiden menjangkakan keputusan dimuktamadkan sekitar suku pertama 2027 sebelum tender EPCC dipanggil mulai separuh kedua tahun berkenaan.
Kumpulan itu turut bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi untuk memuktamadkan beberapa bidang tanah di selatan Semenanjung Malaysia bagi bidaan LSS6 sebagai pemaju projek.
Nilai tender disertai cecah RM3 bilion
Tempahan belum dilaksanakan Samaiden berjumlah RM536.6 juta pada akhir Mac 2026, bersamaan kira-kira 1.5 kali hasil FY2025, dengan projek solar berskala utiliti menyumbang sekitar 80%.
Kumpulan itu turut menyertai tender EPCC bagi projek LSS5+ melebihi 100MW, manakala kira-kira 30% projek LSS5+ masih belum diberikan kepada kontraktor EPCC.
Jumlah nilai tender terkini yang disertai Samaiden mencecah RM3 bilion, dengan 85% terdiri daripada projek solar berskala utiliti termasuk LSS5+, LSS Sabah, LSS Sarawak dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS).
Kumpulan itu mengekalkan sasaran tempahan RM1 bilion dan sedang menyertai proses bagi sebuah projek CRESS untuk membekalkan tenaga kepada pusat data yang mempunyai anggaran nilai EPCC antara RM400 juta hingga RM500 juta.
TA Research menjangkakan keuntungan bersih Samaiden bagi suku keempat FY2026 mencapai paras tertinggi baharu antara RM12 juta hingga RM14 juta, meningkat antara 42% hingga 66% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, didorong peningkatan pelaksanaan projek LSS5. Kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih teras RM8.3 juta pada suku ketiga, meningkat 38% tahun ke tahun.
Samaiden turut mempunyai portfolio aset penjanaan tenaga RE dengan jumlah kapasiti 261MW yang dijadualkan mula beroperasi dalam tempoh dua tahun akan datang.
TA Research menganggarkan aset berkenaan berpotensi menyumbang antara 40% hingga 50% daripada pendapatan kumpulan selepas ditauliahkan sepenuhnya.
Susulan pertemuan itu juga, TA Research menaikkan unjuran keuntungan bersih Samaiden bagi FY2026, FY2027 dan FY2028 masing-masing sebanyak 27%, 30% dan 13%, mengambil kira pelaksanaan projek EPCC yang lebih pantas, andaian margin lebih kukuh serta jangkaan penambahan tempahan yang lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan `Beli'terhadap kaunter Samaiden dan menaikkan harga sasaran berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) kepada RM2.30 daripada RM1.96.
TA Research mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) pendapatan sebanyak 32% bagi tempoh tiga tahun sehingga FY2028, dengan penganugerahan projek LSS5+, CRESS dan LSS6 sebagai pemangkin utama, manakala peningkatan mendadak kos modul solar dan bahan mentah serta kelewatan pelaksanaan projek merupakan risiko utama. - DagangNews.com





