johardy13/08/2026 - 18:13 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR13 Ogos - AirAsia Group Berhad mencatatkan kerugian bersih RM830.5 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2Q26), apabila lonjakan kos bahan api dan kerugian pertukaran asing menjejaskan prestasi kewangan meskipun tambang meningkat dan kos unit bukan bahan api menurun.
Hasil kekal kukuh pada RM5.1 bilion, susut 1% tahun ke tahun walaupun kapasiti dikurangkan 11%, selepas kumpulan itu mengutamakan hasil tambang berbanding jumlah penumpang. Hasil bagi setiap kilometer tempat duduk tersedia (RASK) meningkat 11% kepada 21.28 sen, dipacu penetapan harga dinamik dan surcaj bahan api.
Perbelanjaan bahan api melonjak 58% tahun ke tahun apabila purata harga bahan api jet meningkat kepada AS$183 setong. AirAsia Group, yang dahulunya dikenali sebagai AirAsia X Berhad, bagaimanapun mencatatkan EBITDA positif RM442.6 juta, tetapi 56% lebih rendah berbanding setahun sebelumnya.
Kerugian bersih yang dilaporkan kumpulan itu termasuk kerugian pertukaran asing RM331 juta. AirAsia Group berkata, tidak termasuk kesan pertukaran asing itu, kerugian bersihnya adalah RM499.6 juta.
Tekanan kewangan tertumpu kepada operasi jarak dekat di Thailand, Filipina dan Indonesia serta operasi jarak jauh di Malaysia, manakala perniagaan jarak dekatnya di Malaysia dan Kemboja kekal mencatatkan keuntungan.
Susun semula operasi yang lemah
AirAsia Group berkata, ia menggantung laluan jarak jauh yang tidak menunjukkan prestasi baik, menangguhkan pelancaran hab Bahrain dan menyusun semula operasi di Filipina serta Indonesia dengan mengurangkan peruntukan pesawat bagi memberi tumpuan kepada laluan domestik dan laluan utama ASEAN yang menawarkan hasil lebih tinggi.
Kos bagi setiap kilometer tempat duduk tersedia tidak termasuk bahan api (CASK ex-fuel) turun 7% tahun ke tahun kepada 11.02 sen selepas kumpulan itu membekukan perbelanjaan operasi tidak penting, mengoptimumkan struktur vendor dan menangguhkan perbelanjaan modal yang belum mempunyai komitmen.
Kumpulan itu berkata, penetapan harga dinamik dan pengurangan kos unit bukan bahan api membolehkannya menampung kira-kira 70% daripada peningkatan kos bahan api sepanjang 2Q26. Purata tambang hanya meningkat 4% tahun ke tahun pada April kerana sebahagian besar inventori tempat duduk telah dijual sebelum lonjakan harga bahan api, sebelum meningkat lebih 20% pada Mei dan Jun.
AirAsia Group juga akan memulangkan 25 pesawat lama sepanjang FY2026 bagi mengurangkan beban kos pajakan tetap, selain mendapatkan pesawat baharu Airbus A220 dan A321XLR yang akan mula diterima pada 2028.
Dari segi kecairan, kumpulan itu sedang berbincang dengan institusi kewangan tempatan dan antarabangsa untuk mendapatkan pembiayaan sehingga AS$1 bilion serta kemudahan tempatan RM700 juta, selain meneruskan rancangan penerbitan bon bersasar.
2Q26 dianggap 'suku terendah'
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Bo Lingam menyifatkan 2Q26 sebagai "suku terendah" bagi kumpulan itu dan berkata, pihaknya tidak menjangkakan harga bahan api jet kekal pada purata AS$183 setong seperti yang dicatatkan pada suku berkenaan.
"Apabila harga bahan api kembali normal daripada paras tertinggi 2Q26 dengan kadar tambang yang lebih tinggi ini sudah ditetapkan, ekonomi unit kami akan bertambah baik secara semula jadi," katanya.
Lingam berkata, kerugian operasi Thailand dijangka mengecil pada 3Q26 sebelum kembali mencatatkan keuntungan pada suku keempat, susulan langkah mengurangkan kapasiti yang tidak berdaya maju dan menyesuaikan saiz operasi di pasaran yang kurang menunjukkan prestasi.
AirAsia Group merancang mengurangkan kapasiti antara 20% hingga 25% tahun ke tahun pada 3Q26, yang secara tradisinya merupakan tempoh paling lemah bagi perjalanan serantau, sebelum memulihkan kapasiti secara strategik kepada paras sebelum perang pada 4Q26 apabila permintaan perjalanan musim cuti akhir tahun meningkat.
Kumpulan itu berkata, tempahan awal bagi rangkaian teras ASEAN kini berada pada paras sejajar dengan tahun lalu, meskipun ketidaktentuan dalam persekitaran operasi masih berterusan. - DagangNews.com





