AirAsia lancar dua laluan baharu dari Kuching dan Kuala Lumpur ke Pontianak, Indonesia

12/09/2025 - 14:49
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 12 Sept – AirAsia melancarkan dua laluan terus ke Pontianak, Indonesia menghubungkan Kalimantan Barat dengan Kuala Lumpur dan Kuching, memperkukuhkan kedudukan syarikat penerbangan itu sebagai penyedia rangkaian terluas antara Malaysia dan Indonesia.
Penerbangan pertama dari Kuching ke Pontianak diraikan dengan majlis pelepasan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin bersama Pemangku Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Musa Derek Sairwona serta delegasi yang menaiki penerbangan untuk lawatan rasmi ke ibu kota Kalimantan Barat.
Penerbangan dari Pontianak pula disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra; CEO Sarawak Tourism Board, Sharzede Salleh Askor; serta wakil Malaysia Airports dan pihak kerajaan negeri.
Di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, tetamu penerbangan pertama AK491 dari Pontianak turut disambut oleh Tourism Malaysia bersama pengurusan AirAsia.
Penerbangan ini menandakan perkhidmatan antarabangsa pertama di Lapangan Terbang Supadio, Pontianak sejak status antarabangsa dibuka semula pada Jun 2025.
Majlis sambutan khas turut dianjurkan bersama pihak berkuasa lapangan terbang Angkasa Pura Indonesia dan Dinas Perhubungan Provinsi Kalimantan Barat, dihadiri Gabenor Kalimantan Barat, Drs Ria Norsan, dan Konsul Malaysia di Pontianak, Azizul Zekri Abdul Rahim.

Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, kerajaan Sarawak amat berbesar hati kerana laluan Kuching–Pontianak kini kembali beroperasi selepas lima tahun.
“Perjalanan yang sebelum ini mengambil enam hingga lapan jam kini boleh diselesaikan dalam kurang sejam, memperkukuh hubungan sejarah, budaya dan kekeluargaan antara rakyat.
“Kesalinghubungan ini dijangka merancakkan pelancongan, perniagaan dan hubungan Sarawak–Kalimantan Barat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Fareh berkata, Indonesia kekal menjadi pasaran penting bagi AirAsia.
“Laluan Kuching–Pontianak dan Kuala Lumpur bukan sahaja memudahkan perjalanan, malah membuka peluang pelancongan dan perniagaan antara kedua-dua negara.
“Dengan rangkaian luas dan tambang mampu milik, AirAsia komited memperkukuh hubungan serantau,” katanya.
Bagi Sharzede pula, laluan baharu itu akan memudahkan perjalanan pelancongan, pendidikan, perubatan dan perniagaan ke Kalimantan Barat, serta mengukuhkan peranan Sarawak sebagai pintu masuk ke Borneo.
“Laluan ini dijangka menyokong peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa dan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Kini, AirAsia Malaysia menghubungkan Indonesia dengan 18 destinasi: Kuala Lumpur ke Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Yogyakarta, Banda Aceh, Makassar, Padang, Pekanbaru, Balikpapan, Labuan Bajo, Lombok, Palembang, Semarang dan Pontianak; manakala Kuching pula ke Pontianak, dan Pulau Pinang ke Jakarta dan Medan.
Banjarmasin dijangka menyusul pada 20 Oktober 2025, meningkatkan lagi kesalinghubungan antara Malaysia dan Indonesia. - DagangNews.com
standard



