AirAsia runding dengan kerajaan Malaysia berhubung potensi sokongan pembiayaan - Reuters

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 12:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AirAsia runding dengan kerajaan Malaysia berhubung potensi sokongan pembiayaan - Reuters Image from: AirAsia runding dengan kerajaan Malaysia berhubung potensi sokongan pembiayaan - Reuters sarah12/10/2026 - 12:22

KUALA LUMPUR 12 Okt - Pengasas bersama AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dilaporkan bertemu pegawai Kementerian Kewangan (MOF) Malaysia dua minggu lalu bagi membincangkan kemungkinan sokongan kerajaan terhadap syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia Tenggara itu, menurut agensi berita Reuters yang memetik tiga sumber yang mengetahui perkara berkenaan.

 

Perbincangan itu mencerminkan kebimbangan kerajaan yang semakin meningkat terhadap kedudukan kewangan syarikat penerbangan domestik terbesar negara berikutan lonjakan harga bahan api pesawat, kata sumber berkenaan.

 

Dua daripada sumber itu berkata, perbincangan tertumpu pada kemungkinan kerajaan menyokong usaha pengumpulan dana AirAsia, tertakluk kepada syarat yang dicadangkan dan masih dalam rundingan. Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan butiran syarat berkenaan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Fernandes, yang mewakili syarikat penerbangan itu sebagai pengasas bersama dan penasihat, memberitahu Reuters dalam temu bual eksklusif pada Jumaat bahawa beliau bertemu pegawai MOF dan Kementerian Pengangkutan pada minggu bermula 28 September atas permintaannya sendiri.

 

Bagaimanapun, beliau berkata perbincangan itu tertumpu pada kos berkaitan penerbangan, termasuk caj lapangan terbang dan bahan api, bukannya bantuan kewangan.

 

“Jelas sekali, seperti syarikat penerbangan lain di seluruh dunia, kami memberitahu kerajaan bahawa ini merupakan tempoh yang sukar,” katanya.

 

“Tiada perbincangan mengenai bantuan kewangan dengan kerajaan. Saya bertemu pegawai kerajaan sepanjang masa. Hanya kerana saya bertemu mereka, tidak bermakna kami membincangkan bantuan kewangan,” katanya.

 

Fernandes berkata beliau tidak memohon bantuan daripada kerajaan, manakala kerajaan juga tidak membangkitkan kebimbangan mengenai pembiayaan AirAsia atau menawarkan sebarang sokongan kepadanya.

 

Beliau berkata, keyakinannya mencecah 100% bahawa AirAsia mampu mengharungi keadaan semasa tanpa bantuan kerajaan, seperti yang dilakukan syarikat itu ketika pandemik.

 

Bagaimanapun, Fernandes berkata AirAsia tidak akan menolak bantuan sekiranya ditawarkan oleh mana-mana kerajaan di negara tempat syarikat itu beroperasi, termasuk Malaysia, Thailand dan Indonesia.

 

“Kami tidak akan menolaknya. Kami akan bertindak bodoh jika berbuat demikian,” katanya.

 

aa

 

Beliau turut berkata, sebelum ini beliau pernah meminta kerajaan membantu AirAsia mendapatkan pinjaman daripada bank tempatan berbanding meminjam di luar negara. Beliau masih mengharapkan sokongan sedemikian kerana lebih mengutamakan pinjaman dalam mata wang tempatan dengan kadar faedah dan syarat yang lebih baik.

 

Dua sumber yang mengetahui perbincangan itu berkata, wakil Alton Aviation Consultancy turut menghadiri mesyuarat berkenaan. Reuters sebelum ini melaporkan MOF melantik firma perunding itu untuk menilai keperluan pembiayaan AirAsia yang mengalami kerugian.

 

MOF enggan mengulas, manakala Kementerian Pengangkutan dan Alton tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

 

AirAsia terjejas akibat kenaikan mendadak kos bahan api pesawat, yang melonjak 66% pada suku kedua berbanding suku sebelumnya kepada purata AS$183 (RM747.20) setong, susulan perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran.

 

Mesyuarat itu berlangsung selepas Reuters melaporkan bulan lalu bahawa kerajaan Malaysia bertanya kepada Malaysia Airlines dan Batik Air sama ada kedua-duanya mampu menyerap bahagian pasaran domestik AirAsia sebagai sebahagian daripada perancangan senario ketika pihak berkuasa memantau kedudukan kewangan syarikat penerbangan berkenaan.

 

Saham AirAsia susut sehingga 21% pada hari berikutnya, menghampiri paras terendah dalam tempoh hampir empat tahun.

 

Dua sumber berkata, kerajaan semakin bimbang terhadap kedudukan kewangan AirAsia berikutan kesan berantai yang boleh menjejaskan hubungan udara, sektor pelancongan dan perniagaan berkaitan, termasuk pengendali lapangan terbang milik kerajaan, Malaysia Airports Holdings Berhad.

 

Fernandes berkata, AirAsia menguasai kira-kira 60% pasaran penerbangan domestik Malaysia dan menggaji 26,000 pekerja.

 

Pada 30 Jun lalu, syarikat penerbangan itu mempunyai tunai dan baki bank sebanyak RM954 juta, manakala liabiliti semasanya berjumlah RM18.4 bilion.

 

Perhimpunan kakitangan

Dua sumber berkata, pertemuan dengan pegawai kerajaan itu menyusuli perhimpunan kakitangan yang diadakan Fernandes di ibu pejabat AirAsia pada 28 September, ketika beliau memberitahu pekerja bahawa syarikat itu akan mengatasi kesukaran semasa.

 

Fernandes berkata, beliau memaklumkan kepada kakitangan bahawa semua syarikat penerbangan sedang melalui tempoh sukar.

 

“Kami pernah melalui banyak tempoh sukar sebelum ini. Kami akan keluar daripada keadaan ini dengan lebih kuat. Perbezaan besar antara keadaan sekarang dengan COVID-19 ialah kami masih boleh terbang,” katanya mengimbas kembali ucapannya kepada kakitangan.

 

Pada sidang media 18 September lalu, beliau berkata tiada perbincangan dengan kerajaan, selain menyatakan AirAsia mempunyai kedudukan mudah tunai yang kukuh dan tidak memerlukan penyelamatan atau dana 'bailout'.

 

AirAsia mencatatkan kerugian bersih RM831 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, susulan peningkatan kos bahan api pesawat dan kerugian pertukaran mata wang asing sebanyak RM331 juta.

 

Syarikat itu sebelum ini menyatakan sasaran mengumpul sehingga AS$1 bilion (RM4.083 billion) menerusi pasaran hutang antarabangsa, selain kemudahan kredit tempatan sebanyak RM700 juta, terutamanya untuk membiayai semula hutang sedia ada.

 

Saham AirAsia telah kehilangan lebih 70% nilainya sepanjang tahun ini.

 

Fernandes berkata, pada Jumaat bahawa beliau menjangkakan usaha mengumpul dana AS$1 bilion (RM4.083 billion) itu selesai antara Disember hingga Februari, dengan separuh daripadanya digunakan untuk membiayai semula pinjaman berkos tinggi, manakala selebihnya bagi modal kerja dan menjelaskan liabiliti tertangguh.

 

Beliau berkata AirAsia membuat perancangan kewangan berdasarkan jangkaan harga minyak kekal tinggi selama 12 bulan dan setakat ini belum melihat kemerosotan permintaan.

 

 

 

 

 

 

Kadar pengisian tempat duduk masih melebihi 80% walaupun harga bahan api pesawat pernah mencecah AS$200 (RM816) setong.

 

“Paras melebihi AS$200 (RM816) belum diuji lagi. Pada satu tahap, ia akan menjejaskan permintaan. Saya tidak pasti pada paras mana keadaan itu akan berlaku,” katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved