Tiga strategi perkukuh eksport, kurangkan kebergantungan Malaysia terhadap sektor E&E - MITI

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 10:52 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tiga strategi perkukuh eksport, kurangkan kebergantungan Malaysia terhadap sektor E&E - MITI Image from: Tiga strategi perkukuh eksport, kurangkan kebergantungan Malaysia terhadap sektor E&E - MITI sarah12/10/2026 - 10:52 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt -- Kerajaan menggariskan tiga strategi utama bagi mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap sektor elektrik dan elektronik (E&E), merangkumi pengukuhan rantaian nilai semikonduktor, kepelbagaian sektor pertumbuhan bernilai tinggi serta peluasan pasaran eksport.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan itu bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi negara tanpa mengurangkan peranan E&E dan semikonduktor sebagai antara kekuatan daya saing Malaysia.

 

Beliau berkata, sektor E&E kekal sebagai tunjang utama perdagangan negara apabila eksportnya mencecah RM656.14 bilion atau 48.4% daripada jumlah eksport bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

 

Daripada jumlah itu, produk semikonduktor menyumbang RM483.6 bilion atau 68.3% daripada keseluruhan eksport E&E, mencerminkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global.

 

Bagaimanapun, Johari berkata kebergantungan tinggi terhadap sektor itu turut mendedahkan ekonomi kepada risiko kitaran industri, kelembapan ekonomi global, perubahan teknologi, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan geopolitik.

 

“Kemerosotan ketara dalam kitaran semikonduktor global berpotensi menyebabkan pelarasan inventori dan pengurangan pengeluaran, sekali gus memberi tekanan kepada eksport E&E dan prestasi eksport negara secara keseluruhan,” katanya ketika menjawab soalan di Parlimen.

 

Beliau berkata strategi pertama ialah memperkukuh dan mempelbagaikan rantaian nilai E&E menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), dengan tumpuan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembungkusan termaju.

 

“Langkah ini bertujuan memastikan Malaysia mengambil bahagian dalam lebih banyak segmen rantaian nilai, meningkatkan keupayaan teknologi domestik serta memperkukuh kedudukan syarikat tempatan dalam ekosistem semikonduktor global,” katanya.

 

cip

 

Strategi kedua ialah mempelbagaikan sumber pertumbuhan di luar E&E dengan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti farmaseutikal, automotif, aeroangkasa, peranti perubatan, halal, kimia dan petrokimia. NIMP 2030 merangkumi 21 sektor bagi meningkatkan kompleksiti ekonomi, nilai tambah serta peluang pekerjaan berkemahiran.

 

Prestasi eksport sektor bukan E&E turut menunjukkan perkembangan positif apabila eksport farmaseutikal meningkat 19%, automotif 12.3%, keluaran petroleum 26.6% dan gas asli cecair (LNG) 17.2% bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

 

Strategi ketiga pula melibatkan peluasan pasaran eksport menerusi usaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk meneroka pasaran bukan tradisional, termasuk Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin.

 

Pada masa sama, Malaysia akan terus memanfaatkan rangkaian perjanjian perdagangan bebas (FTA), termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

 

Johari berkata eksport Malaysia ke tiga rantau berkenaan secara kolektif meningkat 18.5% kepada RM59.16 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

 

Antara pasaran yang mencatatkan pertumbuhan eksport ketara ialah Namibia sebanyak 430.6%, Angola 215.4%, Ethiopia 51.2%, Tanzania 50.2% dan Brazil 27.5%.

 

“Kepelbagaian ini penting untuk mengurangkan pendedahan kepada mana-mana satu sektor atau pasaran serta memastikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan menghadapi perubahan kitaran industri, kejutan permintaan dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya..- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved