sarah12/11/2026 - 10:20 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov - Tujuh saham Malaysia berdepan potensi tekanan jualan susulan keputusan MSCI menggugurkan syarikat berkenaan daripada indeks saham bermodal kecilnya dalam semakan November 2026, yang akan berkuat kuasa selepas penutupan dagangan pada 30 November ini.
Menurut dokumen rasmi MSCI Global Small Cap Indexes, tujuh saham yang digugurkan ialah AEON Credit Service (M) Berhad, AirAsia Group Berhad, KSL Holdings Berhad, Mah Sing Group Berhad, Matrix Concepts Holdings Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan Zetrix AI Berhad.
Pada masa sama, NationGate Holdings Berhad menjadi satu-satunya saham Malaysia yang ditambah ke dalam indeks berkenaan, menjadikan jumlah pengguguran lebih tinggi berbanding penambahan dalam semakan kali ini.
Pengguguran tersebut berpotensi mendorong dana pelaburan pasif, termasuk dana dagangan bursa (ETF) yang menjejaki indeks MSCI, menyelaraskan pegangan masing-masing mengikut komposisi baharu, sekali gus boleh memberi tekanan jualan terhadap saham yang terjejas.
Indeks utama Malaysia kekal tidak berubah
Bagaimanapun, semakan November itu tidak melibatkan sebarang penambahan atau pengguguran saham daripada indeks standard MSCI Malaysia, sekali gus mengekalkan komposisi indeks utama negara.
Menurut MSCI, indeksnya digunakan sebagai penanda aras oleh pengurus dana dan pelabur institusi di seluruh dunia, manakala semakan komponen indeks dibuat secara berkala bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran saham.
Bagi Malaysia, keputusan menggugurkan tujuh saham daripada indeks bermodal kecil itu mencerminkan perubahan dalam komposisi indeks, namun MSCI tidak memperincikan sebab khusus pengguguran setiap syarikat dalam dokumen pengumumannya.
Sebaliknya, kemasukan NationGate ke dalam indeks berkenaan berpotensi meningkatkan pendedahan saham syarikat itu kepada dana antarabangsa yang menggunakan MSCI sebagai penanda aras pelaburan.
MSCI umum perubahan indeks global
Dalam kenyataan rasmi bertarikh 11 November 2026, MSCI mengumumkan sebanyak 13 sekuriti ditambah dan 100 sekuriti dikeluarkan daripada MSCI All Country World Index (ACWI), manakala indeks MSCI ACWI Small Cap menyaksikan 171 penambahan dan 243 pengguguran.
Menurut MSCI, semua perubahan indeks akan dilaksanakan selepas penutupan dagangan pada 30 November 2026, berdasarkan semakan yang menggunakan data sehingga tarikh penetapan harga pada 20 Oktober lalu.
Indeks MSCI ialah penanda aras pasaran saham global yang dibangunkan oleh MSCI Inc. untuk mengukur prestasi saham mengikut negara, rantau dan saiz syarikat. Indeks ini menjadi rujukan utama pengurus dana serta pelabur institusi dalam membuat keputusan pelaburan, manakala perubahan senarai sahamnya boleh mempengaruhi aliran dana apabila pelabur menyelaraskan pegangan masing-masing.- DagangNews.com




