sarah12/11/2026 - 14:32 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov - Pemegang saham United Malacca Berhad (United Malacca) disarankan menolak tawaran pengambilalihan pada harga RM6.10 sesaham oleh Prosper Trading Sdn Bhd kerana harga tersebut dianggap tidak adil dan tidak munasabah berbanding anggaran nilai aset bersih dinilai semula syarikat sebanyak RM10.03 sesaham.
Menurut pekeliling nasihat bebas yang dimaklumkan United Malacca kepada Bursa Malaysia hari ini, penasihat bebas MainStreet Advisers Sdn Bhd mendapati harga tawaran itu lebih rendah sebanyak RM3.93 atau 39.18% berbanding nilai aset bersih dinilai semula (RNAV) syarikat yang dianggarkan berjumlah RM2.10 bilion.
Pekeliling itu dikeluarkan berhubung tawaran pengambilalihan wajib bersyarat oleh Prosper Trading bersama Tee Kim Tee @ Tee Ching Tee dan Tee Cheng Hua, melalui UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd, untuk membeli semua baki saham biasa United Malacca yang belum dimiliki mereka serta pihak yang bertindak secara bersama pada harga tunai RM6.10 sesaham.
MainStreet berkata, harga tawaran tersebut turut mencerminkan diskaun sebanyak RM1.35 atau 18.12% berbanding nilai aset bersih belum diaudit United Malacca sebanyak RM7.45 sesaham setakat 31 Julai 2026, sekali gus mengukuhkan penilaiannya bahawa tawaran itu tidak adil kepada pemegang saham.
Tawaran tidak mencerminkan nilai aset United Malacca
Walaupun harga RM6.10 menawarkan premium antara 2.15% hingga 6.28% berbanding harga pasaran dan purata harga saham berwajaran volum bagi beberapa tempoh sebelum pengumuman tawaran, MainStreet berpandangan jumlah itu masih tidak mencerminkan nilai sebenar aset syarikat perladangan berkenaan.
Menurut MainStreet, tawaran itu juga dianggap tidak munasabah memandangkan pembida berhasrat mengekalkan status penyenaraian United Malacca di Bursa Malaysia, sekali gus membolehkan pemegang saham terus memiliki kepentingan dalam syarikat tersebut.
Sehubungan itu, pengarah United Malacca yang tidak mempunyai kepentingan dalam tawaran berkenaan, kecuali Ong Keng Siew, bersetuju dengan penilaian MainStreet dan mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran tersebut.
Tawaran pengambilalihan ditutup 23 November
Tawaran itu tercetus selepas Prosper Trading membeli 28.19 juta saham United Malacca, mewakili kepentingan 13.44%, daripada Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad pada harga RM171.93 juta pada 12 Oktober 2026.
Urus niaga tersebut meningkatkan pegangan kolektif Prosper Trading, kedua-dua pembida utama bersama dan pihak yang bertindak secara bersama daripada 34.22% kepada 47.66% ketika itu, sekali gus mencetuskan kewajipan tawaran pengambilalihan, selain memenuhi kewajipan terdahulu yang timbul apabila pegangan mereka melepasi paras 33% pada September 2024.
Setakat 5 November 2026, kumpulan pembida dan pihak yang bertindak secara bersama memegang 47.23% saham United Malacca, manakala tawaran itu tertakluk kepada penerimaan yang meningkatkan pegangan mereka kepada lebih 50%. Tawaran dijadual ditutup pada jam 5 petang, 23 November 2026, kecuali dilanjutkan atau disemak semula.
- DagangNews.com






