Pertikaian PETRONAS-PETROS jejaskan pelaburan minyak dan gas di Sarawak - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
12 Nov 2026 • 9:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertikaian PETRONAS-PETROS jejaskan pelaburan minyak dan gas di Sarawak - MBSB Research Image from: Pertikaian PETRONAS-PETROS jejaskan pelaburan minyak dan gas di Sarawak - MBSB Research sarah12/11/2026 - 09:08 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Nov - Ketidakpastian berhubung pertikaian antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dipercayai menyebabkan keputusan pelaburan minyak dan gas berskala besar di Sarawak ditangguhkan, dengan penyelesaian antara kedua-dua pihak berpotensi membuka semula laluan kepada projek yang tertangguh.

 

MBSB Research berkata, ketiadaan kepastian undang-undang berhubung pelesenan, pengambilan bekalan gas dan syarat komersial menyebabkan PETRONAS serta rakan kongsinya keberatan untuk memberikan komitmen terhadap pelaburan jangka panjang dalam aktiviti huluan di Sarawak.

 

Menurut firma penyelidikan itu, beberapa pemain industri turut melaporkan bahawa PETRONAS telah menangguhkan perbelanjaan modal di Sarawak ketika pertikaian berkenaan berlarutan, sekali gus menjejaskan momentum pelaburan domestik.

 

Bagaimanapun, MBSB Research berpandangan sebarang persetujuan rasmi yang dimuktamadkan secara bertulis antara PETRONAS dan Petros berpotensi membolehkan keputusan pelaburan yang tertangguh diteruskan, sekali gus menyokong pemulihan perbelanjaan modal domestik mulai 2027.

 

Penyelesaian pertikaian dijangka menjelang akhir 2026

Firma itu merujuk laporan media pada 5 November lalu yang memetik Premier Sarawak sebagai menjangkakan pertikaian PETRONAS-PETROS dapat diselesaikan di luar mahkamah menjelang akhir 2026, dengan sebuah jawatankuasa teknikal bebas sedang meneliti pendirian kedua-dua pihak.

 

MBSB Research menyifatkan penyelesaian tersebut sebagai pemangkin penting kepada peningkatan perbelanjaan modal domestik, memandangkan Sarawak merupakan antara kawasan pengeluaran gas utama negara dan mempunyai kepentingan besar terhadap aktiviti huluan PETRONAS.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan perbelanjaan modal domestik amat penting kepada industri minyak dan gas negara, memandangkan perbelanjaan PETRONAS dalam sektor itu menyusut kira-kira 25% daripada RM33 bilion pada 2024 kepada RM25 bilion pada 2025, sekali gus memberi kesan kepada aktiviti syarikat perkhidmatan minyak dan gas.

 

Perbelanjaan modal PETRONAS dijangka pulih pada 2027

Dalam laporan sama, MBSB Research berkata, perbelanjaan modal sebenar PETRONAS merosot 5% kepada RM16.8 bilion pada separuh pertama 2026 berbanding RM17.6 bilion setahun sebelumnya, selepas mengecualikan pelaburan RM24.6 bilion dalam syarikat bersekutu dan usaha sama daripada jumlah keseluruhan RM41.4 bilion.

 

Firma itu menjangkakan perbelanjaan modal kembali meningkat pada 2027 hingga 2028, disokong harga minyak mentah yang lebih tinggi, penyelesaian pelaburan besar sekali sahaja dalam PRefChem serta keperluan meningkatkan aktiviti huluan bagi mengekalkan pengeluaran minyak dan gas.

 

Pemulihan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), selepas hasil gabungan lima syarikat yang dipantau MBSB Research, iaitu Dayang, Perdana, Deleum, Velesto dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MMHE), merosot 33% kepada RM5.6 bilion pada 2025.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pemberian kontrak minyak dan gas meningkat mulai 2027, namun kesannya terhadap pendapatan syarikat dijangka lebih ketara sepanjang 2027 hingga 2028 kerana projek perlu melalui proses pemberian kontrak dan pelaksanaan sebelum menyumbang kepada hasil.

 

Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor minyak dan gas serta saranan 'beli' terhadap MMHE dengan harga sasaran 59 sen dan Deleum Berhad pada RM1.22, berikutan jangkaan pemulihan aktiviti dan perbelanjaan modal PETRONAS.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved