
PETALING JAYA: AIREI Sdn. Bhd. (AIREI) melancarkan kilang minyak sawit pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) keduanya dengan kapasiti lebih besar iaitu 60 tan sejam berbanding 45 tan sejam di kilang pertamanya, Perak Motor Co. (PMC Oil Mill) di Teluk Intan, Perak.
Pelaksanaan sistem AI proprietari AIREI itu turut disokong menerusi kerjasama baharu dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
Ia sekali gus menandakan perkembangan teknologi berkenaan daripada inovasi syarikat kepada perbincangan lebih luas mengenai peranan AI dalam industri minyak sawit negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata, industri sawit sebagai komoditi strategik negara berpotensi meraih manfaat besar menerusi penerima gunaan teknologi digital dan AI secara lebih meluas.
“Pelaksanaan sistem kilang minyak sawit pintar berasaskan AI AIREI di Perak Motor Co. menunjukkan bagaimana AI mampu meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan penggunaan sumber serta menghasilkan prestasi pengeluaran yang lebih baik.
“Selaras dengan Malaysia Digital 2030 (MD2030), MDEC berhasrat memperkasa lebih banyak inovasi tempatan supaya dapat dibangunkan, diguna pakai dan diperluaskan dalam industri utama.
“Ia juga mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Bahagian Kilang Minyak Sawit Perak Motor, Steven Yow Thin Chin berkata, AIREI kini memperluaskan pelaksanaan teknologi berkenaan pada skala lebih besar dengan penglibatan agensi digital negara, kurang dua tahun selepas memperkenalkan kilang minyak sawit pintar berasaskan AI pertama di dunia.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan teknologi AI semakin beralih daripada peringkat pembuktian konsep kepada amalan standard dalam operasi kilang minyak sawit.
“Pada akhirnya, prestasi sesebuah kilang diukur berdasarkan kadar perahan minyak (OER), dan sistem ini telah memberikan perbezaan yang nyata serta boleh diukur apabila OER meningkat antara 0.1 hingga 0.2 peratus.
“Pencapaian ini dimungkinkan oleh AI yang menghapuskan kesilapan manusia dan mengurangkan sebahagian besar tekaan yang sebelum ini mempengaruhi cara kami merancang operasi,” katanya.
Sistem berasaskan AI itu telah menghasilkan beberapa peningkatan yang boleh diukur di kilang berkenaan, termasuk pengurangan kehilangan minyak, peningkatan pengekstrakan, pengoptimuman tenaga kerja, operasi lebih seragam serta keterlihatan pengurusan lebih baik.
Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AIREI, Surendran Kuranadan berkata, pelaksanaan awal sistem itu bertujuan membuktikan keupayaan AI untuk beroperasi di peringkat operasi kilang minyak sawit.
“AI mengenal pasti anomali pengeluaran, menganalisis punca utama, membetulkannya dan membuat keputusan yang tepat bagi memastikan proses kekal dalam parameter pengilangan.
“Ini sekali gus mengurangkan kehilangan minyak ke paras terendah yang pernah dicatatkan oleh kilang ini.
“Kini, kami membuktikan teknologi ini boleh diperluaskan pada skala lebih besar dan Malaysia mampu menerajui peralihan ini di rantau ini,” katanya. – UTUSAN
The post AIREI lancar kilang minyak sawit pintar appeared first on Utusan Malaysia.





