Aisyah gabung piza dengan rendang maman, bimbing anak-anak autisme

LocalFood
25 Sep 2026 • 11:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Aisyah gabung piza dengan rendang maman, bimbing anak-anak autisme

Seorang usahawan muda membuktikan bahawa makanan tradisional Negeri Sembilan mampu diangkat ke tahap lebih kreatif menerusi penghasilan piza rendang maman.

Lebih membanggakan, kesungguhan Izzatul Aisyah Yahya, bukan sahaja tertumpu kepada perniagaan makanan, malah dia turut membantu kanak-kanak berkeperluan khas menerusi aktiviti sensori.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, idea menghasilkan piza rendang maman tercetus daripada resipi ibunya, Siti Hawa Solehah Alias.

Ibunya sering menyediakan hidangan tradisional tersebut untuk keluarga, sebelum wanita berusia 23 tahun itu tertarik menggabungkannya sebagai satu resipi yang unik.

“Pada mulanya, saya sendiri terfikir boleh ke rendang maman digabungkan dengan piza?

“Ibu pun pernah persoalkan sebab saya hendak gabungkan rendang maman dengan makanan Barat.

“Tetapi saya tetap cuba kerana mahu menghasilkan ‘topping’ yang luar biasa. Apabila orang makan, mereka diam kerana sedap.

“Dari situ, saya yakin gabungan ini boleh diterima dan menjadi sesuatu yang unik,” katanya ketika ditemui di kedai Aisyah Story Pizza di Arked Senawang, Negeri Sembilan baru-baru.

Dia yang lebih dikenali sebagai Aisyah berkata, proses menghasilkan piza rendang maman bukan sekadar mencampurkan dua jenis makanan, sebaliknya memerlukan perhatian terhadap rasa asal rendang supaya identiti menu tradisional itu tidak hilang.

Menurutnya, rendang maman dimasak sendiri menggunakan maman, cili api kampung dan santan, sebelum dijadikan ‘topping’ piza.

“Rendang maman ini ada rasa tersendiri. Pedasnya membuatkan kita mahu makan lagi dan tidak terlalu muak.

“Saya mahu apabila pelanggan makan piza ini, mereka masih dapat rasa rendang maman yang biasa dinikmati, tetapi dalam bentuk berbeza,” katanya yang turut dipilih sebagai Usahawan Ikon Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan 2026.

Anak muda yang pernah menuntut ilmu di madrasah itu berkata, piza rendang maman dijual pada harga RM59.90 bagi saiz sembilan inci, manakala RM29.90 untuk enam inci.

Selain piza segar, Aisyah turut menyediakan produk sejuk beku bagi memudahkan pelanggan menikmati hidangan itu di rumah.

Aisyah berkata, minatnya dalam bidang bakeri bermula sejak berusia 16 tahun selepas dihantar oleh bapanya untuk mengikuti kursus pembuatan roti dan pastri.

“Saya mula buat piza ketika berusia 17 tahun. Pada awalnya, hanya lima biji dari rumah, kemudian meningkat sehingga 100 biji. Ayah yang banyak memberi galakan supaya saya cuba berdikari dan membangunkan jenama sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia kini mengusahakan kedai yang dibuka sejak November 2025 dan menawarkan kira-kira 10 jenis piza, termasuk piza sate ayam dan Asian beef pizza.

Dalam pada itu, Aisyah berkongsi kemahiran pembuatan roti dan piza dengan kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk autisme menerusi aktiviti sensori di sebuah tadika.

Jelasnya, aktiviti tersebut dijalankan dengan kerjasama guru tadika berkeperluan khas bagi membantu kanak-kanak meneroka tekstur, bentuk dan kemahiran asas melalui penggunaan tepung serta bahan pembuatan piza.

“Saya ajar mereka aktiviti sensori menggunakan tepung dan menyediakan ‘topping’ seperti pepperoni.

“Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, aktiviti seperti ini boleh menjadi pengalaman pembelajaran menyeronokkan,” katanya.

Tambah Aisyah, pengalaman itu turut memberi inspirasi kepadanya untuk terus mengembangkan usaha berkaitan pendidikan dan aktiviti untuk kanak-kanak berkeperluan khas pada masa akan datang.

The post Aisyah gabung piza dengan rendang maman, bimbing anak-anak autisme appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved