Aizo berdepan tuntutan ganti rugi selepas subkontrak RM36.8 juta projek di Terengganu dibatalkan

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aizo berdepan tuntutan ganti rugi selepas subkontrak RM36.8 juta projek di Terengganu dibatalkan Image from: Aizo berdepan tuntutan ganti rugi selepas subkontrak RM36.8 juta projek di Terengganu dibatalkan amree23/10/2026 - 09:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt — Aizo Group Berhad berdepan risiko tuntutan ganti rugi daripada pihak kontraktor utama selepas subkontrak projek menaik taraf sistem perkhidmatan pembetungan bernilai RM36.79 juta di Terengganu dibatalkan berkuat kuasa serta-merta.

 

Isu penamatan projek secara mengejut ini timbul apabila pemilik projek berkenaan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), membuat keputusan membatalkan kontrak utama yang dianugerahkan kepada syarikat kontraktor terlibat, Puncak Utara Sdn Bhd.

 

Penamatan tersebut dimaklumkan melalui surat KETENGAH bertarikh 13 Oktober 2026, sekali gus memaksa Puncak Utara menghentikan subkontrak bersama-sama anak syarikat Aizo dan menyatakan hasrat menuntut ganti rugi atas sebarang kerugian yang dialami.

 

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, pengurusan kumpulan itu mengesahkan subkontrak berkenaan diselenggara oleh anak syarikat milik penuhnya, Aizo Engineering Sdn Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Coral Evergreen Sdn Bhd.

 

Projek terbabit ujar kumpulan tersebut, merangkumi kerja-kerja menaik naik taraf sistem pembetungan serta infrastruktur yang berkaitan bagi Fasa III di tiga kawasan utama ditetapkan KETENGAH iaitu Ketengah Jaya, Bukit Besi dan Seri Bandi.

 

"Aizo Engineering sebelum ini menerima surat penganugerahan (LOA) pada 22 Julai 2024 sebelum menerima penawaran rasmi subkontrak bernilai RM36.79 juta itu pada Ogos 2024 dengan tarikh siap asal dijadualkan pada 23 Jun 2027," katanya.

 

Aizo_DagangNews2026

 

Mengulas mengenai implikasi isu ini, Aizo memaklumkan bahawa nilai sebenar impak kewangan terhadap aset bersih dan perolehan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (FY27) masih bergantung kepada perbincangan serta penyesuaian akhir kerja siap bersama Puncak Utara.

 

Bagaimanapun, kumpulan menegaskan bahawa penamatan projek di Terengganu itu tidak akan mengganggu operasi terasnya memandangkan syarikat berkenaan masih mempunyai portfolio projek pembinaan dan tenaga lain yang sedang berjalan.

 

Selain itu tambah Aizo, pembatalan subkontrak berkenaan juga dilaporkan tidak memulakan sebarang kesan negatif material terhadap modal saham berbayar atau pun struktur pegangan saham semasa kumpulan tersebut sendiri.

 

Bagi mengukuhkan aliran kerja, kumpulan yang dulunya dikenali sebagai Minetech Resources Bhd itu baharu sahaja meraih subkontrak lain bernilai RM9.09 juta pada Julai 2026 untuk kerja jalan dan perparitan bagi pembangunan transit (TOD) di Cheras, Selangor.

 

Saham kumpulan berkenaan bagaimanapun ditutup stabil dalam dagangan 22 Oktober 2026 pada paras 35 sen sesaham dengan nilai pasaran RM75 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved