amree21/10/2026 - 14:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt – Encorp Berhad menerusi anak syarikatnya memperoleh Surat Setuju Terima bagi projek perumahan kakitangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bernilai RM16.96 juta, susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua pihak pada 5 Jun 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan pemaju hartanah yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor itu berkata, Encorp Construction & Engineering Sdn Bhd menerima dan bersetuju menerima surat tersebut yang bertarikh 8 Oktober 2026 daripada FELDA, pada 21 Oktober 2026.
Nilai projek baharu tersebut ujarnya, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkenaan, tertakluk kepada terma serta syarat yang ditetapkan. Subsidiari itu merupakan anak syarikat Encorp Construction & Infrastructure Sdn Bhd, dengan dimiliki sepenuhnya oleh Encorp.
Perkembangan itu susulan pengumuman pada 5 Jun 2026 apabila FELDA memeterai MoU dengan Encorp bagi meneroka pembangunan perumahan khas untuk kakitangannya. Ketika itu, kerjasama tersebut menjadi langkah awal sebelum perjanjian muktamad dimeterai dan projek dapat dilaksanakan.
Menurut laporan, Encorp dicadangkan agensi tersebut sebagai kontraktor utama yang bertanggungjawab terhadap reka bentuk dan pembinaan projek berkenaan, dengan matlamat menyediakan kediaman lebih selesa, praktikal dan kondusif untuk ramai kakitangan FELDA.
Artikel berkaitan: FELDA bekerjasama dengan Encorp bangunkan projek perumahan khas kakitangan

Laporan tersebut menyatakan, FELDA turut menyasarkan pembangunan kira-kira 450 unit rumah baharu menerusi inisiatif berkenaan, dengan fasa pertama melibatkan sebanyak 189 unit.
Kerjasama itu juga meneruskan penglibatan Encorp dalam pembangunan kediaman berkaitan FELDA. Antara projek terdahulu ialah Lamanda Chuping di Perlis, dengan fasa pertama disiapkan pada 2024 meliputi 224 unit kediaman kos rendah serta sederhana untuk warga peneroka dan generasi seterusnya.
Selain itu, rekod pembangunan Encorp turut merangkumi pelbagai projek hartanah antaranya The Strand di Kota Damansara dan Encorp Cahaya Alam di Shah Alam, Selangor serta Encorp Marina Puteri Harbour di Iskandar Puteri, Johor di samping projek di Perth, Australia.
Dalam makluman terbaharu, Encorp berkata kedua-dua pihak kini sedang memuktamadkan perjanjian definitif berkaitan projek perumahan tersebut selepas penerimaan surat persetujuan berkenaan.
Encorp memaklumkan bahawa pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan projek berkenaan. Nilai kontrak yang diumumkan ialah RM16.96 juta, sementara butiran pelaksanaan tertakluk kepada terma dan pemuktamadan perjanjian antara kedua-dua pihak. - DagangNews.com





