
HULU TERENGGANU – Seorang peniaga maut selepas kereta Proton Wira dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux di Kilometer 37, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Bukit Diman di sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 12.10 tengah hari itu, mangsa, Nik Muhammad Haiqal Nik Mohd. Kamrulzaman, 22, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian dada, tangan dan kaki.
Pemandu Toyota Hilux, Muhammad Amin Saad, 30, pula patah jari tangan kiri selain luka pada beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu kejadian, Nik Muhammad Haiqal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batangan, Marang dari Jerangau, di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan. Sebuah kenderaan Toyota Hilux yang dikatakan dalam perjalanan ke sebuah kilang kayu di Kampung Bukit Diman, di sini, gagal mengelak lalu merempuh kereta Proton Wira berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Sharudin berkata, mayat Nik Muhammad Haiqal telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, manakala Muhammad Amin telah dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE
The post Ajal Nik Muhammad Haiqal pulang ke rumah appeared first on Kosmo Online.






