
KUALA LUMPUR – Akaun bank dan aset kewangan yang dikaitkan dengan seorang lagi juruterbang ditahan berhubung rampasan dadah bernilai RM45 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia pada Julai lalu dibekukan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, juruterbang kedua tersebut yang disyaki bertindak sebagai orang tengah antara juruterbang Malaysia Airlines dengan sindiket dadah akan ditahan selama 60 hari di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Katanya, pihak penyiasat sedang meneliti akaun bank juruterbang berkenaan serta rekod kewangan lain yang ada kaitan dengannya.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah wang ditemui dalam akaun tersebut.
“Dia (juruterbang kedua) adalah sebahagian daripada sindiket yang terbabit dalam aliran wang hasil daripada penjualan dadah.
“Dia berperanan membantu pembantu juruterbang itu menerima wang dan memindahkannya,” katanya.
Menurut beliau, membantu individu terlibat kegiatan pengedaran dadah termasuk menerima hasil jualan dadah atau membenarkan akaun bank digunakan dianggap sebagai penglibatan dalam pengedaran dadah dan akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang berkaitan dadah.
Tambahnya, tempoh tahanan itu bermula pada hari juruterbang terbabit ditahan dan kes dirujuk kepada Lembaga Penasihat untuk menentukan sama ada suspek perlu ditahan untuk tempoh tambahan selama dua tahun.
Pada awal minggu ini, polis menahan juruterbang kedua itu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah dikaitkan dengan penahanan seorang pembantu juruterbang di Jakarta bersama 15 bungkusan mengandungi kira-kira 70,000 kapsul disyaki ekstasi dan metamfetamin, berat kira-kira 25 kilogram dan dianggarkan bernilai RM45 juta.
The post Akaun bank, aset juruterbang RM45 juta dibeku appeared first on Kosmo Online.





