
KUALA SELANGOR – Seorang lagi juruterbang tempatan yang berperanan sebagai ‘akauntan’ sindiket pengedaran dadah berhubung kes penyeludupan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Indonesia pada 29 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penangkapan suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan kelmarin di sekitar Lembah Klang.
Katanya, suspek tersebut didapati telah aktif sejak setahun lalu dalam sindiket sama. “Siasatan mendapati suspek dipercayai berperanan mengurus aliran wang antara sindiket dengan pembantu juruterbang ditahan di Indonesia sebelum ini.
“Dia menguruskan wang hasil jualan dadah yang disalurkan melalui dirinya. Dengan kata lain, dia terlibat dalam menguruskan hasil jualan dadah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan suspek terbaharu ini adalah daripada syarikat penerbangan lain berbanding pembantu juruterbang sebelum ini.
Hussein turut mengesahkan siasatan mendapati sindiket terbabit mempunyai rangkaian antarabangsa.
“Ya, kegiatan ini juga boleh dikategorikan sebagai pengubahan wang haram,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menahan enam lelaki tempatan berhubung kes penyeludupan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Indonesia pada 29 Julai lalu.
Kesemua suspek berusia 23 hingga 50 tahun itu ditahan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang dijalankan dari 20 hingga 28 Ogos lalu.
Berdasarkan siasatan dan risikan, mereka memainkan peranan sebagai ‘upline’ (orang atasan) dan ‘downline’ (orang bawahan) dalam sindiket pengedaran dadah membabitkan pembantu juruterbang. – KOSMO! ONLINE
The post Lagi juruterbang ditahan, jadi ‘akauntan’ sindiket dadah appeared first on Kosmo Online.





