Polis Beku Aset Juruterbang Kedua Disyaki Terbabit Sindiket Dadah Di Jakarta

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 8:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Polis Beku Aset Juruterbang Kedua Disyaki Terbabit Sindiket Dadah Di Jakarta

KUALA LUMPUR - Polis membekukan akaun bank dan aset kewangan seorang lagi juruterbang warga Malaysia yang ditahan berhubung kes rampasan dadah bernilai RM45 juta di Jakarta.

Lelaki berusia 30-an itu disyaki membantu menerima dan memindahkan wang hasil jualan dadah milik seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan sebelum ini di Jakarta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek dipercayai bertindak sebagai orang tengah antara pembantu juruterbang berkenaan dengan sindiket dadah terbabit.

“Dia (juruterbang kedua) adalah sebahagian daripada sindiket yang terlibat dalam aliran wang hasil jualan dadah. Dia berperanan membantu pembantu juruterbang itu menerima wang berkenaan dan memindahkannya,” katanya.

Beliau berkata, polis kini meneliti akaun bank dan rekod kewangan lain milik suspek, namun jumlah wang yang dikenal pasti setakat ini tidak didedahkan.

Suspek ditahan di Lembah Klang pada 7 September lalu dan kini dikenakan tahanan selama 60 hari mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Hussein berkata, perbuatan membantu individu yang terbabit dalam pengedaran dadah, termasuk menerima hasil jualan atau membenarkan akaun bank digunakan bagi tujuan berkenaan, boleh dianggap sebagai penglibatan dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Kami tidak menahannya mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, sebaliknya di bawah langkah pencegahan khas selama 60 hari,” katanya.

Tempoh tahanan bermula pada hari suspek ditangkap sebelum kes dirujuk kepada Lembaga Penasihat bagi menentukan sama ada tempoh tahanan perlu dilanjutkan sehingga maksimum dua tahun.

Dengan penahanan itu, jumlah rakyat Malaysia yang ditahan di negara ini berhubung kes berkenaan meningkat kepada tujuh orang.

Siasatan bermula susulan penahanan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta Julai lalu.

Dia ditahan selepas didapati membawa 15 bungkusan mengandungi kira-kira 70,000 kapsul disyaki ekstasi dan methamphetamine.

Dadah seberat kira-kira 25 kilogram itu dianggarkan bernilai RM45 juta.

Polis percaya enam lagi rakyat Malaysia yang ditahan di negara ini, berusia antara 23 hingga 50 tahun, berperanan sebagai pembekal dan penghantar kepada pembantu juruterbang berkenaan pada pelbagai peringkat rangkaian pengedaran dadah.

Kesemua mereka turut ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Dalam perkembangan berkaitan, polis mendapati sindiket dadah semakin berani mengeksploitasi Malaysia sebagai hab pemprosesan dan transit bagi kegiatan penyeludupan rentas sempadan.

Hussein berkata, kedudukan strategik Malaysia, selain rangkaian jalan raya serta pengangkutan udara dan laut yang luas, menjadikan negara ini sasaran sindiket tempatan dan antarabangsa.

Katanya, kedudukan negara yang berhampiran Segi Tiga Emas, antara kawasan utama pengeluaran dan pengedaran dadah di Asia Tenggara, turut menjadi faktor Malaysia dieksploitasi sindiket.

“Ekosistem Malaysia yang maju dari segi rangkaian jalan raya, pengangkutan udara dan laut serta pelbagai perkhidmatan lain dieksploitasi sepenuhnya oleh sindiket tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, sindiket turut menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk memasuki Malaysia bagi menjalankan aktiviti haram, sekali gus menjadikan negara ini antara laluan transit penyeludupan dadah melalui darat, udara dan laut.

Hussein berkata demikian ketika mengulas operasi polis terhadap beberapa sindiket dadah berskala besar, termasuk pembongkaran sebuah makmal dadah di Puncak Alam Rabu lalu yang membabitkan dadah bernilai RM2.4 bilion.

Dalam perkembangan terbaharu membabitkan rakyat Malaysia di luar negara, pihak berkuasa India menahan seorang wanita warga Malaysia yang didakwa membawa 15 kilogram kanabis di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi.

Wanita itu dilaporkan menaiki penerbangan Batik Air OD205 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke New Delhi pada 4 September lalu. - Getaran, 12 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved