
PETALING JAYA: Sebanyak tujuh akaun bank bernilai kira-kira RM500,000 dibekukan susulan penahanan seorang lagi juruterbang yang ditahan bagi membantu siasatan rampasan dadah bernilai RM45 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua akaun berkenaan adalah milik tujuh individu yang ditahan, termasuk juruterbang yang ditahan baru-baru ini.
Katanya, nilai keseluruhan sitaan membabitkan kenderaan dan barang kemas berjumlah kira-kira RM1.2 juta.
“Ini adalah jumlah keseluruhan bagi semua tujuh tangkapan di bawah (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Hussein memaklumkan, akaun bank dan aset kewangan milik seorang lagi juruterbang dibekukan.
Pembekuan akaun adalah sebahagian daripada tindakan selepas juruterbang berkenaan ditahan selama 60 hari di bawah Akta Dadah Berbahaya LLPK.
Peranan juruterbang kedua itu disyaki bertindak sebagai orang tengah antara juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan di Indonesia pada Julai lalu.
Wang berkenaan diterima juruterbang kedua ini daripada suspek untuk dipindahkan ke dalam akaun itu.
Individu yang terbabit kegiatan pengedaran dadah termasuk menerima hasil jualan dadah atau membenarkan akaun bank digunakan untuk tujuan itu, akan dianggap sebagai penglibatan dalam pengedaran dadah dan akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang berkaitan dadah.-UTUSAN
The post Polis beku tujuh akaun bernilai RM500,000 babit juruterbang appeared first on Utusan Malaysia.






