
TAWAU: Olahragawan Sukan Sabah edisi ke-10, Akhmal Thaqif Begurdy dari Tawau terus mempamerkan aksi cemerlang apabila merangkul tiga pingat emas dalam acara berbasikal pada temasya Sukan Sabah (Saga) XI.
Akhmal memenangi kategori ujian masa perseorangan lelaki, ujian masa berpasukan dan ujian masa pecut 1,000 meter.
Dalam ujian masa perseorangan sejauh 34 kilometer, Akhmal mencatat masa 43 minit 54 saat, mengatasi pelumba Keningau, Elvin Jeromey (49 minit 09 saat), manakala tempat ketiga milik pelumba Tawau, Muhammad Rayhan Julizwan dengan masa 50 minit.
Akhmal kemudiannya membantu pasukan Tawau yang dibarisi Muhammad Rayhan, Rex Pang Lip Hong, Mohamad Adriansyah, Mohamad Iqbal Syahmi Alexander dan Muhammad Izzul Qusyairie memenangi emas dalam ujian masa berpasukan lelaki 64 kilometer dengan catatan masa 1 jam 40 minit 10 saat.
Pasukan Keningau yang diketuai Mohammad Farhan Abdullah mencatat masa 1 jam 48 minit untuk meraih perak, manakala pingat gangsa dimenangi pasukan Lahad Datu dengan masa 1 jam 51 minit 56 saat.
Ujian masa pecut 1,000m turut menyaksikan keunggulan Akhmal dengan catatan masa 56.45 saat, meninggalkan dua pelumba Kota Belud, Muhammad Nur Irfan Roslan dan Muhamad Fazlansah Fitri Utok yang masing-masing mencatat 58.32 saat dan 1 minit 2 saat.
Sementara itu, acara lain menyaksikan pelumba Tuaran Evlighta Willborn menjuarai pecut 500m wanita dengan masa 41 saat, diikuti Farisha Umaira Zairi dari Keningau dan Shannon Liaw Xiao Xuan dari Kota Kinabalu masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori ujian masa perseorangan wanita sejauh 20 kilometer, Farisha bangkit menebus kekalahan sebelumnya apabila meraih emas mengatasi Shannon dan Restyfiona Rizal dari Nabawan.
Penyampaian pingat disempurnakan Pegawai Bahagian Operasi Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Zanariah Ibrahim yang mewakili Presiden Joseph Pang di Jalan Persisiran.
Sebanyak sembilan emas dipertandingkan dalam acara berbasikal yang dijadual menutup tirai esok (Khamis).
Sementara itu, hari pertama acara taekwondo menyaksikan Tuaran membuka tirai kejayaan apabila atletnya, Ugintran Muniandy, merangkul pingat emas pertama bagi kategori finweight terbuka lelaki bawah 54kg.
Pingat perak pula disandang oleh atlet Tenom, Muhammad Syahzley Danley manakala Kobe Cruz Orow dari Kota Kinabalu dan Jackson Able Jenneime (Sook) berkongsi pingat gangsa.
Bagi kategori finweight terbuka wanita bawah 46kg, Sukie Alinskie J Palikat menghadiahkan pingat emas kepada Kota Kinabalu selepas mengalahkan wakil Tuaran, Syahirah Anniz yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Manakala gangsa masing-masing disandang oleh Aveianca Octovia Lim Zhi Ling dan Nur Elly Shahrizah Rithaudden masing-masing dari Telupid dan Semporna.
Emas ketiga pula menjadi milik Mohammad Daafi Syah Mohd Iskandar Syah dari daerah Ranau dalam kategori flyweight terbuka lelaki 54.1kg - 58kg.
perak pula dimenangi oleh Azzar Amirudin mewakil Lahad Datu dan peserta dari Beluran dan Tenom Mohammad Zuldanial Allan dan Baxter Putra Ho masing-masing berkongsi pingat gangsa.
Kategori flyweight terbuka wanita 46.1 - 49kg pula diungguli Erin Farhanah Amri dari Kuala Penyu, manakala perak disandang oleh peserta dari Tawau, Nurul Zhahirah Aqilah Tan dan gangsa menjadi milik daerah Tenom, Erica Putri Ho dan Kunak, Darelline Jane David.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Taekwondo Bersatu Sabah, Francis Langkab.
Dalam pada itu, Papar mengecewakan Tongod dengan agregat 2-1 sekaligus merangkul pingat emas bagi acara sepak takraw berpasukan lelaki.
Manakala bagi kategori berpasukan wanita, Nabawan terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Beluran selepas tewas dengan agregat 2-0.
Pingat gangsa pula dikongsi bersama oleh Kota Belud dan Tawau bagi kategori wanita dan Tawau serta Tuaran bagi kategori lelaki.
Penyampaian hadiah diadakan di Dewan Sekolah Vision di sini, pada Isnin.
Perlawanan akan diteruskan dengan kategori double, regu dan quadrant.
Dalam saingan badminton, pemain pilihan pertama kategori perseorangan lelaki dan wanita, Muhammad Nur Azhar Zunaide dan Cassey Rynn Rompog mara ke peringkat suku akhir acara badminton.
Azhar yang mewakili Pitas menewaskan pemain Nabawan, Mohamad Shazlie Farish Sauli 21-7, 21-12 manakala Cassey menundukkan atlet Sandakan, Elisa Shaninie 21-9, 21-5.
Azhar turut mara ke suku akhir bagi kategori beregu lelaki bersama pasangannya, Hafiz Hakimi Hashim selepas menewaskan lawan daripada Lahad Datu 21-7,21-8.
Turut berjaya ke suku akhir, pilihan pertama bergu wanita dari Sandakan, Jola Lim Zi Yu dan Sarah Lim Ying Sie yang turut mara bersama pasangannya, Lin Yao Rang bagi acara bergu campuran.
Pertandingan akhir dijadual akan berlangsung di Dewan Akademi Badminton Ji Min, esok.
