
PETALING JAYA – “Ada yang cadang dibuka tabung sumbangan bagi membantu saya menjelaskan ganti rugi dan kos berjumlah RM300,000 ini. Namun, izinkan saya berusaha sendiri dahulu.”
Itu luahan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang membuka bidaan bagi dua aset kesayangannya, motosikal Honda X-ADV dan ternakan ikan tilapia, bagi membantu menjelaskan ganti rugi serta kos berjumlah RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan kewangannya yang masih belum mencukupi untuk melunaskan jumlah berkenaan.
Akmal berkata, beliau amat menghargai cadangan orang ramai supaya membuka tabung sumbangan bagi membantunya, namun memilih untuk berusaha menjual aset miliknya terlebih dahulu.
“Saya tahu setiap sahabat juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kesusahan masing-masing. Sebab itu, selagi masih ada milik saya yang boleh dilepaskan, izinkan saya mengusahakannya dahulu.
“Sejujurnya juga, RM300,000 itu sangat besar bagi diri saya. Apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kedua-dua aset itu antara harta kesayangan yang telah habis dibayar dan boleh dijual, memandangkan beliau tidak mempunyai tanah atau rumah untuk dilepaskan bagi mencukupkan jumlah berkenaan.
“Kedua-duanya ada cerita, penat lelah dan kegembiraan yang tersendiri buat saya. Sebab itu, hendak menulis bahawa saya mahu menjualnya pun terasa berat. Berat hati hendak berpisah dengan sesuatu yang kita sayang. Namun, lebih berat hati jika terpaksa menyusahkan orang lain sedangkan masih ada milik sendiri yang boleh diusahakan,” ujarnya.
Beliau turut berkongsikan perincian akaunnya kepada para pembida yang serius dan memaklumkan, akan memulangkan kembali deposit RM100 sepenuhnya sekiranya bidaan tidak berjaya.
“Hantar resit berserta aset yang ingin dibida dan jumlah tawaran ke akaun Muhamad Akmal Saleh (Maybank, 554053630464) dengan nombor telefon untuk penghantaran resit bidaan ke 013 6232792.
“Kepada sahabat yang mendoakan, terima kasih. Jangan rasa serba salah jika tidak dapat membeli atau membantu. Doa dan kata-kata semangat kalian pun sudah cukup besar maknanya buat saya.
“Doakan saya diberi kekuatan untuk melepaskan apa yang saya sayang, supaya tanggungjawab ini dapat saya selesaikan. Terima kasih kerana menemani saya dengan doa,” tambahnya.
Terdahulu media melaporkan, Muhamad Akmal kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan Teresa dan diperintahkan membayar ganti rugi serta kos keseluruhan RM300,000.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Isa Aziz Ibrahim pada Isnin, selepas mendapati Muhamad Akmal bertanggungjawab terhadap kenyataan berunsur fitnah yang menjadi asas saman berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Akmal Saleh jual motosikal, ikan tilapia demi bayar ganti rugi RM300,000 appeared first on Kosmo Online.





