
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengambil keputusan untuk membuka bidaan dua aset kesayangannya bagi mengumpul wang sebanyak RM300,000 susulan keputusan mahkamah dalam kes saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau memaklumkan dua aset berkenaan ialah sebuah motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya yang akan dijual bagi membantu menjelaskan bayaran ganti rugi serta kos mahkamah.
Menurut Akmal, keputusan itu dibuat selepas mendapati jumlah simpanan dimilikinya masih belum mencukupi untuk menjelaskan keseluruhan bayaran berkenaan.
“Sejujurnya juga, RM300,000 itu sangat besar bagi diri saya. Apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi.
“Sebab itu, dengan berat hati, saya membuka bidaan untuk dua aset kesayangan saya iaitu motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakan saya,” katanya.
Beliau menjelaskan, kedua-dua aset tersebut sudah habis dibayar dan merupakan antara harta yang boleh dijual memandangkan dirinya tidak mempunyai tanah atau rumah untuk dilepaskan.
Bukan keputusan mudah
Akmal turut mengakui keputusan menjual aset berkenaan bukan sesuatu yang mudah kerana kedua-duanya mempunyai nilai sentimental serta menyimpan pelbagai kenangan buat dirinya.
“Kedua-duanya ada cerita, penat lelah dan kegembiraan yang tersendiri buat saya. Sebab itu, hendak menulis bahawa saya mahu menjualnya pun terasa berat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada individu yang mencadangkan pembukaan tabung sumbangan bagi membantunya menjelaskan bayaran berkenaan.
Bagaimanapun, Akmal menegaskan beliau mahu berusaha menggunakan kemampuan sendiri terlebih dahulu tanpa membebankan orang ramai yang turut mempunyai tanggungan masing-masing.
“Sejujurnya, saya menghormati keputusan mahkamah dan bersedia mematuhi perintah itu. Tanggungjawab untuk menjelaskan jumlah tersebut akan saya pikul sepenuhnya.
“Namun, izinkan saya berusaha sendiri dahulu,” katanya.
Deposit RM100
Bagi mereka yang berminat menyertai bidaan, Akmal memaklumkan deposit sebanyak RM100 perlu dibayar sebelum resit bersama maklumat aset dan jumlah tawaran dikemukakan kepadanya.
Menurutnya, deposit berkenaan akan dipulangkan sepenuhnya sekiranya bidaan tidak berjaya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan sokongan moral, doa dan kata-kata semangat sepanjang berdepan situasi berkenaan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Akmal membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 serta kos RM50,000 selepas Teresa Kok berjaya dalam saman fitnah terhadapnya.
Keputusan itu turut disertai perintah injunksi yang menghalang penerbitan lanjut kenyataan berunsur fitnah berkenaan serta mengarahkan kandungan terbabit dipadam daripada media sosial dalam tempoh tujuh hari.
The post Akmal Saleh buka bidaan motosikal, ikan tilapia bagi bayar ganti rugi RM300,000 appeared first on The Reporter.






