
PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambung rakaman percakapan bekas ketua pegawai kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa pembelian saham dua buah syarikat perladangan bernilai kira-kira RM370 juta hari ini.
Rakaman percakapan tersebut dijalankan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan berlangsung lebih 7 jam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, bekas pegawai kanan tersebut telah tiba di Ibu Pejabat SPRM sekitar pukul 10 pagi.
“Rakaman percakapan beliau pada hari ketiga telah selesai kira-kira jam 5.30 petang dan esok akan bersambung untuk hari keempat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas CFO syarikat milik badan berkanun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Dua individu masing-masing berusia 68 dan 60 tahun ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Bagaimanapun, suspek dibebaskan malam tadi atas faktor kesihatan, namun rakaman percakapan akak diteruskan.
Abd Halim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE
The post RCI Tabung Haji: SPRM sambung rakam percakapan bekas CFO lebih 7 jam appeared first on Kosmo Digital.






