Kenapa Puncak Alam jadi lubuk makmal dadah?

10 Sep 2026 • 5:01 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kenapa Puncak Alam jadi lubuk makmal dadah?

SHAH ALAM – Akses mudah ke rangkaian lebuh raya dan pelabuhan dipercayai menjadi antara faktor strategik Puncak Alam dipilih sindiket sebagai lokasi operasi makmal dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedudukan sesuatu kawasan menjadi antara pertimbangan sindiket sebelum memilih premis untuk menjalankan kegiatan haram.

Katanya, sama seperti polis mempunyai pertimbangan tertentu dalam menentukan lokasi operasi, penjenayah juga tidak akan memilih sesuatu tempat secara sembarangan.

“Lebuh raya dan pelabuhan yang mudah diakses itu antara pertimbangan yang digunakan pihak sindiket. Penjenayah pun tidak sembarangan membuat sesuatu tempat atau premis sebagai lokasi aktiviti mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penemuan dan penumpasan tiga makmal dadah di Puncak Alam dengan terbaharu melibatkan rampasan RM2.4 bilion, sekali gus menjadi rampasan terbesar tahun ini.

Menurut beliau, pihak polis sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan dan operasi berdasarkan maklumat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Malah katanya, elemen rondaan turut dilakukan dan dipertingkatkan bagi tujuan tersebut.

Shazeli bagaimanapun memaklumkan, penemuan beberapa makmal dadah di Puncak Alam bagaimanapun belum menjadi faktor mencukupi untuk mewujudkan sebuah balai polis baharu di kawasan berkenaan.

“Untuk mewujudkan balai polis baharu, beberapa faktor perlu diambil kira seperti kepadatan penduduk, kepesatan ekonomi dan keadaan jenayah semasa.

“Hanya kerana ditemui dan tertumpasnya makmal-makmal dadah, itu belum menjadi salah satu faktor yang cukup kuat kerana rondaan telah dijalankan,” katanya.

Jelasnya, faktor keluasan kawasan juga tidak boleh dijadikan ukuran kerana kepadatan penduduk di Puncak Alam belum sepenuhnya tinggi.

“Jadi, kalau buat balai polis penduduk pun tidak ramai. Itu akan merugikan kekuatan anggota,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan markas makmal dadah milik sindiket yang diketuai seorang lelaki ditembak mati di Garden Homes, Seremban 2, akhirnya terbongkar menerusi Op Eumenes di sebuah kawasan perindustrian Bandar Puncak Alam.

Sebelum ini, pada Ogos 2019, polis merampas 3,667 kilogram kokain dan ketamin bernilai RM676 juta dalam dua serbuan termasuk di sebuah premis di Puncak Alam.

Pada Januari 2025 pula, polis membongkar makmal haram di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam dan merampas 832.9 kilogram pelbagai dadah bernilai hampir RM118 juta selain senjata api serta peluru. – KOSMO! ONLINE

The post Kenapa Puncak Alam jadi lubuk makmal dadah? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved