Aksi Sengit MTCC 2025 Pusingan 3 & Himpunan Honda Terbesar di SIC

8 Aug 2025 • 5:58 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Sepang, 8 Ogos 2025 – Kejuaraan Malaysia Touring Car (MTCC) 2025 kembali menggegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) bagi Pusingan 3 dari 8 hingga 10 Ogos 2025, dengan pertarungan kejuaraan semakin sengit memasuki separuh kedua musim.

Pusingan kali ini turut menampilkan Honda Mega Meet 2025 buat pertama kali – himpunan terbesar peminat Honda di Malaysia, dianjurkan oleh Ahem Ideas Sdn. Bhd. Festival gaya hidup automotif ini dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran kereta, pertandingan, aktiviti keluarga, gerai makanan & minuman, jualan barangan, cabutan bertuah, perarakan komuniti dan lawatan pit.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata:

“Pusingan 3 menjadi penanda aras baharu buat MTCC, dengan grid terbesar musim ini dan pengenalan Honda Mega Meet yang menggabungkan gaya hidup dan sukan permotoran. Honda Malaysia Racing Team (HMRT) turut membuat penampilan sulung untuk Pusingan 3 dan 4, membawa ballast tambahan 30kg mengikut peraturan siri.”

Selain MTCC, hujung minggu ini turut menyaksikan penyertaan Asia Classic Car Challenge/Caterham, Toyota Vios Challenge (Pusingan 3), serta penampilan sulung TSS Super Series (Pusingan 3) di MTCC musim ini.

Kedudukan Kejuaraan Terkini:

  • MTC: Lai Wee Seng & Leon Khoo (R-Engineering Honda CR-Z) – 56 mata
  • MT2 V: Lee Chee Wah & Lester Lian (Axwerkz Suzuki Swift) – 48 mata
  • MT2 G: Hendra Ade Putra & Ady Rahimy (Niza Racing Honda GK) – 41 mata
  • TP: Wong Yew Choong (Modern Racing Team Honda FK8) – 59 mata
  • TP2: Chiow Teck Song (R-Engineering Honda FD2R) – 61 mata

Sistem ballast kejuaraan terus digunakan bagi tiga pendahulu setiap kategori untuk memastikan perlumbaan yang adil dan strategik.

Turut kembali ialah E-Sport Time Attack x Rakan Muda, yang menawarkan cabaran simulasi perlumbaan di lokasi dengan hadiah menarik termasuk baucar tayar Hankook bernilai RM1,760.

Bagi peminat yang mahu pengalaman premium, Paddock Hospitality Pass ditawarkan pada harga RM318 untuk 2 hari, manakala Paddock Pass biasa pada harga RM100 untuk 3 hari.

Maklumat lanjut termasuk jadual, senarai penyertaan, keputusan perlumbaan dan kedudukan terkini boleh diikuti melalui saluran media sosial rasmi MTCC di Laman Sosial Sepang Circuit