
Selepas tujuh tahun menyepi, Kejohanan Rali Malaysia anjuran MAM kembali membuka tirai di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan pada 2 dan 3 Ogos 2025. Pusingan pertama ini menyaksikan pelbagai cabaran luar jangka, namun tetap berjaya dilangsungkan dengan penuh semangat dan aksi mendebarkan.

Cabaran terbesar penganjuran terjadi pada hari kedua yang mana perlumbaan dijadualkan bermula di Felda Raja Alias 4, namun terpaksa dibatalkan gara-gara kehadiran bomba yang lewat, menyebabkan isu keselamatan tidak dapat dipatuhi. Lokasi seterusnya di Felda Serting Hilir juga gagal digunakan setelah mana keadaan pada waktu itu tidak sesuai untuk menggunakan kawasan tersebut.

Ketegangan yang timbul akhirnya dapat diselesaikan dan perlumbaan hanya dapat dimulakan pada jam 10 pagi, lewat hampir dua jam daripada jadual asal di lokasi berhampiran SS4. Namun begitu, acara tetap diteruskan dengan semangat profesionalisme yang tinggi daripada semua pihak terlibat.

Daripada 11 Special Stage (SS) yang dirancang, hanya lima dapat dilangsungkan iaitu SS1, SS4, SS7, SS10 dan SS11. Hari kedua menyaksikan kemunculan semula lagenda rali negara, Karamjit Singh dan Davender Singh yang menampilkan prestasi unggul bersama Proton Gen2 4WD Turbo untuk muncul juara keseluruhan dengan catatan 1 jam 6 minit 14 saat.

Di tempat kedua, Haji Sutan Mustaffa dan Kamarul Anuar dengan jentera Subaru WRX ketinggalan +2 minit 40 saat, manakala gandingan Ikhsan Muhammad Husni dan Yie Sing muncul tempat ketiga dan juara kategori M3 bersama Proton Satria 1.6 4WD.

Dalam kategori peminat tegar/bintang baharu, Saladin Mazlan (MINI Deus 1.8T) menduduki tempat keempat keseluruhan walaupun mengalami masalah teknikal dan penalti. Mitch Chong pula mencuri tumpuan dengan menjuarai kategori M2, sementara gandingan wanita Nazatul Shima dan Nur Arsyad meraih kemenangan dalam Ladies Class.

Satu insiden melibatkan pasukan East Cost Rallying (Syakirin & Hazwan) yang menarik diri selepas SS7 akibat kerosakan chasis dan sistem suspensi menambahkan lagi kehangatan drama kejohanan.

Pusingan kedua dijadual berlangsung di Sepang pada 16-17 Ogos 2025, bersempena Malaysia Festival of Speed (MFOS), satu lagi pentas yang bakal mencabar daya ketahanan jentera, strategi pasukan dan kemahiran pelumba di pentas kebangsaan.
Teruskan bersama TW Media
The post Kejohanan MAM Rali Malaysia 2025 – Pusingan 1 Jempol Diuji Cabaran, Namun Tetap Berakhir Cemerlang appeared first on TW Media.
