Aksi Sulung Bergaya: Eastcoast Rallying x Piston Project Tidak Mengalah di MRC

19 Aug 2025 • 8:15 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

SEPANG, 18 Ogos 2025 — Aksi penuh dramatik mewarnai penampilan sulung pasukan gabungan Eastcoast Rallying x Piston Project apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua kategori M3 pada Pusingan 2 Kejuaraan Rali Malaysia (MRC) 2025.

Dengan hanya berbaki 5km sebelum garisan penamat, kereta Honda Jazz GE yang dipandu Muhamad Roni Risman bersama jurupandu arah Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki mengalami tayar pecah. Namun, mereka nekad untuk terus mara, satu keputusan berani yang akhirnya menghadiahkan podium.

Sebelum itu, di Special Stage 3 (SS3), jentera mereka berdepan kerosakan mekanikal serius sehingga terpaksa melakukan kerja-kerja kecemasan dalam keadaan panas terik. Walaupun kehilangan masa, pasangan ini tetap bangkit menekan saingan dalam laluan ladang kelapa sawit berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Kami tiada pilihan lain. Sama ada berhenti awal tanpa kepastian, atau habiskan perlumbaan dengan maruah,” kata Roni yang juga pengasas Piston Project serta pertama kali turun ke saingan rali kerikil.

Bagi Syakirin pula, keputusan meneruskan perlumbaan walaupun dengan tayar pecah adalah pertaruhan besar. “Tiada pelumba mahu tamat dengan DNF. Podium bonus, tetapi hakikatnya cabaran sebenar rali adalah menamatkan perlumbaan walau apa jua keadaan,” ujarnya.

Kemenangan kategori M3 menjadi milik Hasrin Tahir/Hendra Eryawan (Proton Satria Neo 1.6, Bawang R Tune Mannol Rally Team). Tempat ketiga pula dimenangi Dinie Nazmi Abd Rahman/Mohd Nazam Shah Sulaiman (R&R Sport Speed Garage).

Pusingan 3 dan 4 MRC 2025 akan berlangsung hujung tahun ini dengan Asahan, Melaka dipilih sebagai venue penutup musim.