
BACHOK: Muslimat Pas perlu menguasai bidang geopolitik dan menjadi peneraju pemikiran antarabangsa bagi memastikan suara wanita Islam lebih tersusun serta berpengaruh dalam menghadapi isu global.
Ketuanya, Nuridah Mohd. Salleh berkata, penguasaan dalam bidang undang-undang antarabangsa, ekonomi global dan komunikasi rentas sempadan penting bagi menyatukan suara wanita Islam menerusi kekuatan ilmu serta keupayaan strategik.
Katanya, penglibatan Muslimat Pas dalam pelbagai misi kemanusiaan dan solidariti antarabangsa berjaya mewujudkan jaringan di peringkat antarabangsa.
“Jaringan ini termasuk ketika mendepani isu kemanusiaan yang berlaku di Palestin, Sudan, Afghanistan dan Yaman dengan membawa suara serta bantuan kepada saudara-saudara yang memerlukannya di luar negara.
“Dana kebajikan dan bantuan kemanusiaan yang digerakkan oleh Dewan Muslimat Pas juga sudah mencecah jutaan ringgit demi membantu mereka yang ditimpa musibah,” katanya semasa menyampaikan ucaptama sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Kali Ke-66 yang dirasmikan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad di Kompleks Pendidikan Islam Bachok, di sini hari ini.
Nuridah berkata, Muslimat Pas perlu meneladani kecekalan wanita Palestin yang dilatih untuk memimpin dalam situasi perang serta cekap membina negara di sebalik segala keterbatasan.
Katanya, penyertaan wanita dalam politik global juga belum berada pada tahap seimbang.
“Sehingga 1 Januari lalu, wanita hanya memegang 27.5 peratus kerusi Parlimen dunia dan 22.4 peratus jawatan menteri Kabinet.
“Perbandingan antara beberapa negara turut memperlihat jurang ketara dalam penglibatan wanita dalam institusi politik. Di Emiriah Arab Bersatu, wanita merangkumi 50 peratus anggota Federal National Council manakala di Senegal sebanyak 41.2 peratus anggota National Assembly terdiri daripada wanita,” ujarnya.
Menurut beliau, di Indonesia pula, wanita merangkumi 22.2 peratus anggota House of Representatives manakala di Malaysia, data semasa menunjukkan penguasaan wanita sekitar 13.6 peratus daripada keseluruhan ahli Dewan Rakyat yang memegang kerusi.
Sementara itu, beliau berkata, Dewan Muslimat Pas sudah menghimpunkan anggota yang berkelayakan dan berpotensi sebagai persediaan memperkukuh penyertaan wanita dalam politik.
Katanya, usaha itu selaras dengan sasaran minimum 30 peratus perwakilan wanita di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Pengalaman Muslimat Pas dalam setiap siri pilihan raya yang lalu memperlihat kemampuan, kematangan dan komitmen sebagai jentera pilihan raya dalam membantu parti memenangi kerusi yang ditandingi,” katanya. – UTUSAN
The post Muktamar: Muslimat Pas perlu kuasai geopolitik appeared first on Utusan Malaysia.





