KUALA LUMPUR - Kementerian Ekonomi sedang melaksanakan kajian bagi menyediakan kerangka kawal selia dan cadangan perundangan berkaitan anti‘rent-seeking’ atau konsep 'Ali Baba,'.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu dibuat bagi membanteras amalan yang boleh menjejaskan kecekapan pasaran, mewujudkan persaingan tidak adil serta membantutkan pertumbuhan produktiviti negara.
Menurut beliau, kajian berkenaan turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri bagi memastikan pendekatan yang dirangka bersifat menyeluruh dan bersesuaian dengan keperluan semasa.
“Dalam hubungan ini, proses penggubalan perundangan memerlukan penelitian yang mendalam bagi memastikan setiap cadangan yang dibangunkan adalah praktikal, berkesan dan boleh dilaksanakan.
“Memandangkan isu rent-seeking merentas bidang kuasa beberapa kementerian dan agensi, penyelarasan serta persetujuan bersama turut diperlukan sebelum sesuatu pendekatan dimuktamadkan.
“Seterusnya, cadangan tersebut perlu melalui proses pertimbangan dan kelulusan secara berperingkat, termasuk di peringkat Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara (JPPN) dan Jemaah Menteri, sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai status perkembangan terkini bagi penggubalan rang undang-undang berkaitan antirent-seeking.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, daripada segi skop, cadangan kawal selia rent-seeking akan merangkumi pembangunan dasar, strategi dan inisiatif yang lebih komprehensif bagi menangani amalan tersebut secara berkesan.
Jelasnya, antara pendekatan yang sedang diteliti ialah penggubalan undang-undang baharu khusus berkaitan antirent-seeking atau pindaan kepada peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan.
Katanya, perkara tersebut bergantung pada hasil kajian dan proses penyelarasan antara pihak berkepentingan.






