
Penggubalan Akta MARA 2026 dilihat penting bagi memperkukuh tadbir urus serta melindungi aset bernilai kira-kira RM23 bilion di bawah seliaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), selain menjaga kepentingan lebih 700,000 pelajar dan usahawan yang menerima manfaat institusi itu.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, akta baharu berkenaan merupakan kemuncak usaha memperkemas struktur tadbir urus dan tatakelola kewangan MARA bagi mengelakkan kelemahan pengurusan yang pernah berlaku sebelum ini.
Menurutnya, penggubalan akta itu juga penting bagi memastikan sebarang bentuk penyelewengan atau penyimpangan terhadap aset MARA dapat dibendung, sekali gus memelihara amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepada institusi berkenaan untuk kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera.
Katanya, antara perkara yang mendorong usaha berkenaan ialah isu pembelian aset luar negara di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2013 yang kemudiannya menyumbang kepada kerugian anak syarikat MARA.
“Ini antara faktor kenapa tiga tahun lalu ketika dilantik sebagai Pengerusi MARA pada 10 Mac 2023, perkara pertama yang saya lakukan ialah menubuhkan Pasukan Khas untuk menilai dan memperbaiki Tadbir Urus Korporat dan Tatakelola Kewangan MARA diketuai oleh Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Muhammad Ibrahim.
“Ini kerana banyak maklum balas yang diperoleh waktu itu mengenai pelbagai isu yang terkait dengan kelemahan tadbir urus MARA yang berlaku sebelum ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, antara isu yang pernah membelenggu MARA ialah pembelian aset luar negara sehingga anak syarikatnya, MARA Inc, mencatat kerugian terkumpul RM286.30 juta antara 2012 hingga 2022.
Selain itu, katanya, kontroversi penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW), turut pernah mencetuskan isu sehingga membawa kepada penggantungan pengerusi MARA ketika itu.
Beliau berkata, beberapa projek lain turut menimbulkan persoalan apabila berlaku kerugian bernilai jutaan ringgit tanpa pihak yang bertanggungjawab dapat dikenal pasti dengan jelas.
“Selain itu terdapat juga isu membabitkan kutipan hutang pinjaman yang tidak diuruskan dengan baik dan teratur serta kartel menguasai tender perolehan MARA antaranya tender makanan bernilai jutaan ringgit.
“Banyak lagi isu lain yang semuanya terkait dengan kelemahan struktur asas tadbir urus institusi dan tatakelola yang lemah,” katanya.
Akta lama lebih 50 tahun
Jelasnya, semua usaha penambahbaikan berkenaan akhirnya membawa kepada cadangan menggantikan Akta MARA 1966 yang dianggap tidak lagi selari dengan keperluan dan skop operasi MARA ketika ini.
“Maka kemuncak segala inisiatif ini adalah melalui cadangan penggubalan Akta MARA 2026 untuk menggantikan undang-undang lapuk melalui Akta MARA 1966,” ujarnya.
Menurut Asyraf Wajdi, tanggungjawab MARA kini jauh lebih besar dan bukan hanya tertumpu kepada kebajikan pelajar dalam sektor pendidikan, sebaliknya turut merangkumi pembangunan keusahawanan serta pelaburan.
Katanya, seramai 45,000 pelajar MRSM berada di bawah MARA, manakala hampir 225,000 pelajar lagi mengikuti pendidikan dalam ekosistem MARA termasuk TVETMARA, GIATMARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
“Ini baru sektor pendidikan MARA, belum lagi sektor keusahawanan MARA membabitkan lebih 500,000 penerima manfaat sama ada yang menyewa di lebih 6,800 premis MARA.
“Mereka mendapat pelbagai bentuk pinjaman, geran dan bantuan MARA melalui program pembiayaan antaranya melalui program PROSPEK,” katanya.
Beliau berkata, MARA turut mempunyai rangkaian perkhidmatan termasuk 160 cawangan UniKlinik, UniFarmasi dan UniDental di seluruh negara, selain Program ProTech yang menyediakan peluang kepada usahawan dalam bidang solar, automotif, pendingin udara dan elektronik.
Dalam sektor pelaburan pula, Asyraf Wajdi berkata, terdapat lebih 13 anak syarikat di bawah MARA Corporation yang menjalankan pelbagai aktiviti pelaburan bagi menjana pendapatan dan memberikan pulangan dalam bentuk dividen kepada MARA.
Katanya, ia termasuk pegangan dalam bentuk unit amanah yang diuruskan oleh Pelaburan MARA Berhad.
Beliau menegaskan, penggubalan Akta MARA 2026 diharap menjadi asas lebih kukuh untuk memastikan setiap aset, peruntukan dan mandat MARA diuruskan secara telus, berintegriti serta memberi manfaat kepada generasi semasa dan akan datang.






