Akta Mara 2026 perkukuh tatakelola kewangan

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 12:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Akta Mara 2026 perkukuh tatakelola kewangan

PETALING JAYA: Penggubalan Akta Mara 2026 bakal memperkemas pengurusan, tadbir urus dan pengurusan kewangan Majlis Amanah Rakyat (Mara) selaras dengan perkembangan serta skala operasi agensi itu ketika ini.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan penggantian Akta Mara 1966 tersebut dilihat penting bagi memastikan kerangka perundangan agensi itu seiring dengan perkembangan, skala serta kerumitan operasinya pada masa kini.

Menurutnya, langkah berkenaan wajar dilaksanakan memandangkan Mara kini mengurus aset berjumlah RM23 bilion dan memainkan peranan penting dalam pendidikan, keusahawanan serta pelaburan.

“Usaha memperbaiki aspek tadbir urus Mara telah dimulakan sejak saya dilantik sebagai Pengerusi Mara pada 10 Mac 2023 dan sejak pelantikan tersebut saya telah menubuhkan Pasukan Khas yang bertujuan meneliti kelemahan serta memperkukuh amalan tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan agensi Mara.

“Pasukan khas berkenaan diketuai oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim, susulan pelbagai maklum balas ketika itu berkaitan isu dan kelemahan tadbir urus Mara sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, cadangan Akta Mara 2026 yang akan menggantikan Akta Mara 1966 merupakan antara langkah utama selepas pelbagai usaha penambahbaikan dilaksanakan.

Katanya, keperluan untuk memperkukuh tadbir urus semakin jelas apabila Mara kini memberi manfaat kepada kira-kira 45,000 pelajar MRSM dan hampir 225,000 pelajar dalam keseluruhan ekosistem pendidikannya.

“Dalam sektor keusahawanan pula, lebih 500,000 penerima manfaat bergantung kepada program dan perkhidmatan yang disediakan Mara.

“Sebarang ketirisan, penyelewengan atau kelemahan pengurusan boleh memberi kesan terhadap pelaksanaan amanah Mara serta mandatnya kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Tambah Asyraf, antara perkara yang mendapat perhatian ialah pengambilalihan aset di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2014 yang mengakibatkan Mara Inc merekodkan kerugian terkumpul RM286.30 juta bagi tempoh 2012 hingga 2022.

Selain itu, isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW), pada 2016 dan 2017 turut disenaraikan, termasuk kerugian daripada beberapa projek Mara.

“Kelemahan dalam pengurusan kutipan balik pinjaman serta dakwaan kewujudan kartel yang menguasai proses tender perolehan Mara juga antara isu yang dikenal pasti.

“Pelbagai kelemahan berkenaan membuktikan perlunya pembaharuan menyeluruh terhadap asas tadbir urus dan tatakelola institusi Mara. – UTUSAN 

The post Akta Mara 2026 perkukuh tatakelola kewangan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved