IOI Properties dapat kelulusan SC, bakal senaraikan REIT RM7.58 bilion di Pasaran Utama

10 Aug 2026 • 9:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IOI Properties dapat kelulusan SC, bakal senaraikan REIT RM7.58 bilion di Pasaran Utama Image from: IOI Properties dapat kelulusan SC, bakal senaraikan REIT RM7.58 bilion di Pasaran Utama liza10/08/2026 - 09:14 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Ogos – IOI Properties Group Berhad membuka lembaran baharu dalam pengurusan asetnya selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menubuhkan dan menyenaraikan IOIPG Malaysia REIT di Bursa Malaysia.

 

Melalui langkah itu, sembilan aset hartanah milik kumpulan bernilai RM7.58 bilion akan ditempatkan di bawah satu amanah pelaburan hartanah (REIT).

 

Langkah itu menjadikan aset seperti pusat beli-belah, bangunan pejabat dan hotel sebagai portfolio sebuah entiti yang akan disenaraikan di pasaran saham.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IOI Properties berkata REIT berkenaan akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan saiz dana awal sebanyak 5.5 bilion unit.

 

Aset terbesar dalam portfolio itu ialah IOI City Mall di Putrajaya yang bernilai RM5.1 bilion, menjadikannya penyumbang utama kepada nilai keseluruhan aset yang akan diperoleh oleh REIT berkenaan.

 

Dengan nilai tersebut, IOI City Mall sahaja menyumbang kira-kira dua pertiga daripada nilai pemerolehan RM7.58 bilion manakala baki portfolio terdiri daripada dua aset pejabat dan enam hotel.

 

9 Aset Jadi Portfolio REIT

Selain IOI City Mall, dua bangunan pejabat yang akan dimasukkan ialah IOI City Towers dan PFCC Towers.

 

Portfolio hotel pula melibatkan Putrajaya Marriott Hotel, Le’ Meridien Putrajaya, Moxy Putrajaya, Four Points by Sheraton Puchong, W Kuala Lumpur dan Courtyard by Marriott Penang.

 

Kesemua aset itu akan diperoleh oleh IOIPG Malaysia REIT daripada anak syarikat IOI Properties dengan nilai keseluruhan RM7.58 bilion.

 

Sebagai balasan bagi pemerolehan tersebut, REIT akan menerbitkan 5.5 bilion unit pada harga 90 sen seunit, manakala RM2.65 bilion lagi akan diselesaikan secara tunai.

 

Jumlah tunai RM2.65 bilion itu pula akan dibiayai menerusi penerbitan sukuk, menjadikan transaksi tersebut mempunyai gabungan komponen unit REIT dan pembiayaan tunai.

 

Pemegang Saham IOI Properties Turut Terlibat

Menariknya, penyenaraian REIT ini turut membuka ruang kepada pemegang saham sedia ada IOI Properties untuk memiliki unit dalam entiti baharu berkenaan.

 

Sebanyak 715.61 juta unit diperuntukkan bagi tawaran runcit, termasuk 550.61 juta unit yang akan ditawarkan menerusi tawaran jualan terhad kepada pemegang saham IOI Properties yang layak.

 

Pemegang saham yang layak akan menerima hak membeli satu unit REIT bagi setiap 10 saham IOI Properties yang dimiliki pada tarikh kelayakan yang akan diumumkan kemudian.

 

Selain tawaran kepada pemegang saham, sebanyak 55 juta unit akan diperuntukkan kepada individu yang layak, manakala 110 juta unit lagi ditawarkan kepada orang awam Malaysia.

 

Bagi pelabur institusi pula, sehingga 1.48 bilion unit akan ditawarkan, termasuk 687.5 juta unit kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala sehingga 796.89 juta unit diperuntukkan kepada pelabur institusi Malaysia dan asing serta pelabur terpilih.

 

Kelulusan SC Disertai Syarat

Kelulusan SC itu bagaimanapun memiliki beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum proses penyenaraian diteruskan.

 

Antaranya, unit bersamaan 12.5% daripada jumlah unit diterbitkan IOIPG Malaysia REIT selepas diperbesarkan perlu diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

 

IOI REIT Management Sdn Bhd yang bakal menguruskan REIT itu juga perlu mendapatkan kelulusan SC bagi lesen pengurusan dana yang terhad kepada REIT.

 

Selain itu, pengurus REIT berkenaan dikehendaki mengemukakan laporan audit operasi kepada SC dalam tempoh enam bulan selepas penyenaraian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved