Akta Pekerja Gig 2025 dilancar, lebih 1.64 juta terima manfaat holistik

LocalPolitics
31 Mar 2026 • 3:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ramanan ketika sidang media perasmian Akta Pekerja Gig 2025 di Menara PERKESO, Putrajaya pada Selasa.

PUTRAJAYA - Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) secara rasminya mula berkuat kuasa pada Selasa, dengan anggaran lebih 1.64 juta individu yang terlibat dalam ekonomi gig di negara ini menerima pelbagai manfaat.

Ia meliputi perlindungan hak pekerja, ketelusan perjanjian perkhidmatan, larangan diskriminasi, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, jaminan keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang jelas menerusi Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan Tribunal Pekerja Gig.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pekerja gig kini tidak perlu khuatir kerana akta menyediakan perlindungan perundangan yang holistik dan golongan tersebut akan kekal bekerja secara fleksibel, malah Akta 872 juga tidak mengganggu ekosistem gig itu sendiri.

Menurutnya, Malaysia mengambil pendekatan itu selepas mengadakan kajian memahami amalan global seperti Amerika Syarikat (AS), Singapura dan India sebelum memperkenalkan kerangka perundangan khusus bagi melindungi pekerja gig secara komprehensif.

Ramanan turut mendefinisikan pekerja gig kepada tiga perkara utama iaitu individu mesti warganegara atau pemastautin tetap (PR) di Malaysia, membuat perjanjian dengan entiti kontrak sama ada penyedia platform mahupun tanpa platform dan menerima pendapatan bagi setiap perkhidmatan.

"Contoh pekerja gig yang membuat perjanjian perkhidmatan dengan penyedia platform ialah pekerja e-hailing dan p-hailing, manakala pekerja gig tanpa platform merujuk kepada golongan dalam sektor lakonan, aktiviti perfileman serta muzik, terjemahan, kewartawanan dan lain-lain seperti disenaraikan di bawah jadual Akta 872.

"Saya ambil maklum ada pihak yang mempersoalkan tentang takrifan pekerja gig di dalam akta ini turut meliputi PR di Malaysia.

"Ingin saya tegaskan yang Akta 872 bukan cuma melindungi pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing sahaja, tetapi juga pekerja gig tanpa platform yang berada di dalam sembilan sektor perkhidmatan ini." katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Akta Pekerja Gig 2025 yang diadakan di Menara PERKESO, di sini.

Oleh yang demikian, tegas Ramanan, pihaknya memberi jaminan tiada isu berbangkit yang mengatakan akta itu bertentangan dengan dasar dan perundangan kerajaan sedia ada.

Ramanan menambah, Majlis Perundingan Gig (MPGIG) yang merupakan platform triparti antara wakil kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak turut ditubuhkan dalam akta berkenaan.

Jelasnya, ia berperanan menasihati dan membuat syor kepada kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula serta standard minimum yang bakal diguna pakai berdasarkan sektor, kawasan wilayah, jenis pekerja gig atau perkhidmatan.

Kata menteri itu lagi, ia juga berfungsi sebagai platform dialog, rundingan dan khidmat nasihat tentang dasar serta isu-isu berbangkit dalam sektor gig yang melibatkan pemegang taruh berkaitan selain analisis data dan penyelidikan.

Atas dasar itu, Ramanan memaklumkan bahawa kementerian telah melantik seramai 26 anggota MPGIG dengan tarikh kuat kuasa pelantikan mulai 1 April dan majlis bakal bermesyuarat pada 3 April ini.

"Saya faham isu kadar pendapatan pekerja gig antara masalah utama yang sering dibangkitkan kelompok ini.

"Justeru, ini memang menjadi agenda awal yang akan dirunding dan dibincangkan secara bersama melalui MPGIG bagi mendapatkan jalan penyelesaian tuntas," ujarnya.

SEGiM selaku badan penyelaras tunggal ekonomi gig Malaysia

Sementara itu, Ramanan berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini meluluskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig (SEGiM) selaku badan penyelaras tunggal ekonomi gig di negara ini yang bakal melibatkan penggubalan dasar, penyelaras pelaksanaan serta pemantau industri gig.

Dalam hal tersebut, Ramanan berpendapat bahawa penubuhan suruhanjaya itu adalah langkah yang strategik untuk memastikan tadbir urus ekosistem gig dilaksanakan secara menyeluruh, tersusun dan berkesan.

"Ia juga sejajar penggubalan Akta 872 yang merupakan asas perundangan untuk melindungi hak dan kebajikan pekerja, salah satu komponen di bawah SEGiM.

"Dengan berkuatkuasanya Akta 872 ini, sekarang pekerja gig boleh membuat

aduan mengenai pekerjaan gig seperti isu bayaran pendapatan, pengantungan akaun atau perlanggaran syarat perjanjian, katanya.

Bagi memudahkan pekerja gig, Ramanan memberitahu, kementerian menyediakan sistem e-Aduan sebagai platform utama bagi penerimaan aduan, pertanyaan atau maklum balas daripada pekerja gig.

"Sistem ini boleh dilayari melalui laman web kementerian di pautan https://eaduan-gig.mohr.gov.my/ mulai 1 April.

"Selain itu, selaras dasar 'No Wrong Door Policy', pekerja gig juga boleh datang ke mana-mana jabatan atau agensi di bawah Kesuma untuk buat aduan dan proses memakan masa maksimum 21 hari bekerja," jelasnya.

Menyingkap semula proses memperjuangkan penggubalan akta tersebut bermula 2024 dan kemudiannya diluluskan di Parlimen, Kesuma mengadakan 37 siri sesi libat urus membabitkan 3,873 peserta dalam kalangan agensi kerajaan, kesatuan sekerja, persekutuan majikan, persatuan, penyedia platform, majikan, pekerja gig, ahli akademik serta warga universiti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Pandangan semua pihak diambil kira termasuk ulasan Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Digital dan Kementerian Ekonomi.