amree16/11/2026 - 14:50 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov — Keputusan pemberian kontrak kerajaan bakal berdepan penelitian lebih ketat mulai 2027 menerusi pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan 2026, dalam usaha pengukuhan akauntabiliti dan mengelakkan kelemahan pengurusan kewangan awam berulang.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, undang-undang tersebut dijangka dapat mewujudkan mekanisme penelitian secara lebih jelas terhadap sebarang keputusan perolehan kerajaan, selain menyediakan saluran tertentu untuk proses semakan semula.
Menurut beliau, reformasi berkenaan bertujuan untuk memastikan tahap akauntabiliti dalam pengurusan dana awam menjadi sebahagian daripada sistem institusi kerajaan dan bukan lagi hanya sekadar bergantung kepada keupayaan individu yang memegang jawatan tertentu.
"Akta Tanggungjawab Kewangan Awam dan Fiskal 2023 sebelum ini sudah mewajibkan Menteri Kewangan bertanggungjawab kepada Parlimen berhubung perancangan fiskal jangka sederhana, termasuk sasaran mengurangkan defisit fiskal dan hutang negara," jelasnya.
Amir Hamzah menyatakan perkara tersebut ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 Yayasan Khazanah, di ibu negara pada Isnin.
Kata beliau, Akta Perolehan Kerajaan 2026 akan melengkapi kaedah perlindungan yang sedia ada dengan memperkukuh pengawasan terhadap keputusan kontrak kerajaan.

Beliau mengakui undang-undang semata-mata tidak menjamin pentadbiran akan bebas daripada kesilapan, namun mekanisme perlindungan institusi mampu menyukarkan amalan perbelanjaan berlebihan dan kelemahan akauntabiliti secara berulang.
"Perlindungan institusi juga membolehkan Parlimen dan orang ramai dapat menuntut penjelasan dengan lebih berkesan, selain mengelakkan aspek penyalahgunaan dana awam sehingga dianggap sebagai amalan biasa," tambah Amir Hamzah.
Di samping itu, beliau turut menyentuh berhubung kepentingan melaksanakan reformasi sebelum krisis berlaku, dengan mengambil contoh pembaharuan subsidi bahan api secara bersasar yang membantu mengurangkan ketirisan dalam sistem subsidi pukal.
Katanya, langkah itu memberi ruang kepada kerajaan untuk terus melindungi isi rumah ketika berdepan peningkatan beban subsidi bahan api susulan kejutan luaran, berbanding jika kelemahan sistem terdahulu tidak ditangani lebih awal.
Akta Perolehan Kerajaan 2026 dijangka mula dikuatkuasakan pada 2027 selepas menerima perkenan diraja tahun ini. Rang undang-undang (RUU) itu diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan Dewan Negara pada September 2025, sebelum diwartakan pada 26 Mei 2026. - DagangNews.com






