SHAH ALAM - Pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu meluahkan rasa muak terhadap isu membabitkan persahabatan selain meminta seorang individu tidak memainkan sentimen berkenaan dalam urusan pemasaran dan publisiti.
Menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya, Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin berkata, beliau sudah meminta maaf walaupun mendakwa pelbagai perkara dilakukan individu terbabit terhadapnya sebelum ini.
“Aku dah minta maaf walaupun macam-macam dah kau buat kat aku. Aku dah tersangat muak dengan isu ini.
"Aku tak kisah pun kau tak reply WhatsApp aku tapi janganlah depan public kau wayang kononnya kau lah yang terpaling mulia dalam bersahabat,” katanya.
Jep turut mengingatkan individu berkenaan mengenai kenyataan lalu yang pernah menyebut “bad publicity is still publicity” dan menegaskan bahawa beliau tidak berminat dengan publisiti sedemikian.
Mengulas mengenai isu bayaran yang disentuh dalam sebuah rakaman 'podcast', Jep berkata, urusan bayaran untuk kumpulan tidak pernah dibuat, sebaliknya segala urusan sebelum ini dilakukan secara individu.
Jep turut meminta individu berkenaan menyebut nama sekiranya perkara mengenai bayaran itu benar-benar merujuk kepadanya, selain berkata, beliau boleh menghantar surat tuntutan (LOD).
“Lagi satu Rahim ada tunjuk aku video podcast kau cakap pasal payment. Kita tak pernah deal payment untuk kumpulan. Dari dulu semuanya deal individu.
“Kalau betul memang ada cerita pasal payment tu, gentle sebut la nama, senang sikit aku nak hantar LOD. Jangan berkias-kias kat podcast dan try hard buat orang bersangka buruk untuk benci aku,” katanya.
Dalam hantaran sama, Jep turut mendakwa, individu berkenaan membuat fitnah terhadapnya dan meminta supaya isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang didakwa dipotong tetapi tidak dibayar diselesaikan.
Jep turut mempersoalkan tindakan individu berkenaan yang menurutnya, membawa beberapa individu ke podcast untuk memburukkan dirinya.
Dalam hantaran sama, Jep meminta individu berkenaan supaya tidak mengganggu kehidupannya kerana kini beliau mahu memberi perhatian kepada dua anaknya.






