Percaturan Misha Omar memilih tema Aku & Lelaki untuk showcase terbaharunya ternyata tepat apabila penyanyi itu berjaya menghidupkan persembahan selama kira-kira dua jam menerusi gabungan vokal memukau, penghayatan mendalam dan interaksi bersahaja bersama penonton.
Berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya, pada Sabtu lalu, showcase itu memberi ruang kepada Misha meneroka lagu-lagu yang pernah dipopularkan penyanyi lelaki dari Malaysia, Indonesia dan antarabangsa, tanpa mengetepikan karya yang sinonim dengan perjalanan seninya sendiri.

Hasilnya, Aku & Lelaki bukan sekadar persembahan yang bergantung pada kekuatan senarai lagu. Sebaliknya, Misha berjaya membentuk sebuah persembahan yang bergerak antara emosi dan hiburan, daripada momen yang mengundang rasa sayu menerusi kemerduan vokalnya kepada suasana ceria hasil celoteh spontan serta kemesraannya melayani penonton.
Bagi penonton yang pertama kali menyaksikan persembahan langsung Misha, keistimewaan vokalnya terasa berbeza apabila didengar secara dekat. Gemersik suaranya mampu membuatkan bulu roma meremang, manakala penghayatan dalam setiap lagu menyampaikan emosi yang mudah menyentuh perasaan.
Keupayaan itu terserlah sepanjang persembahan, membuktikan bahawa kekuatan Misha bukan hanya pada teknik vokal, tetapi juga kebolehannya menghidupkan sesebuah lagu sehingga penonton turut merasai emosi yang ingin disampaikan.
Lagu Popular Dengan Sentuhan Tersendiri
Menerusi konsep yang meraikan keseimbangan antara maskulin dan feminin, kekuatan dan kelembutan serta kehilangan dan harapan, Aku & Lelaki menawarkan sisi berbeza Misha sebagai penyanyi.
Antara segmen yang mencuri perhatian ialah medley lagu Anuar Zain, Lelaki Ini dan Keabadian Cinta, selain Back At One dan Can We Talk.
Membawakan lagu yang sudah sinonim dengan penyanyi asal bukan tugas mudah, terutama apabila karya berkenaan mempunyai peminat tersendiri. Namun, Misha memberikan interpretasi tersendiri menerusi kekuatan vokal dan penghayatan yang mengekalkan daya tarikan lagu berkenaan.

Lagu seperti Bahagiamu Deritaku dan Bahasa Kalbu pula menyerlahkan sisi emosionalnya, sementara Bunga-Bunga Cinta mengimbau kembali antara karya yang cukup sinonim dengan perjalanan muzik penyanyi itu.
Misha turut menyampaikan medley lagu sendiri, Kau Yang Amat Ku Sayang dan Hingga Ke Akhir Nanti, sekali gus memberikan keseimbangan kepada repertoir yang menggabungkan karya penyanyi lain dengan lagu yang dekat di hati peminatnya.
Pemilihan lagu yang merentasi pelbagai suasana itu menjadikan persembahan lebih dinamik. Setiap karya memberikan warna berbeza, sementara kemampuan Misha menyesuaikan penyampaian mengikut karakter lagu memastikan momentum persembahan terus terpelihara.
Idris Ezzwa Curi Perhatian, Penonton Diajak Menari
Jika vokal menjadi tunjang utama persembahan, personaliti Misha pula membantu menghidupkan suasana sepanjang malam.
Dia bijak mengambil hati penonton menerusi gurauan spontan dan interaksi bersahaja, tanpa menjadikan persembahan terasa terlalu formal.
Malah, kesediaannya turun dari pentas untuk mendekati penonton memperlihatkan hubungan mesra yang dibina sepanjang showcase. Kemunculan anaknya, Idris Ezzwa, turut mencuri perhatian apabila dia menyampaikan lagu Just The Way You Are.

Misha sempat berseloroh bahawa Idris merupakan satu-satunya penyanyi lelaki yang mampu dibayarnya untuk membuat persembahan di showcase itu, sekali gus mengundang gelak tawa penonton.
Momen tersebut memberikan sentuhan peribadi kepada Aku & Lelaki, selain memperlihatkan sisi humor Misha yang bersahaja ketika berinteraksi dengan penonton.
Suasana kemudian bertukar lebih meriah apabila Misha mengajak semua yang hadir bangun dan menari menerusi Teh Hijau, lagu yang dipopularkan penyanyi Indonesia, Tulus.
Ajakan itu memperlihatkan satu lagi sisi Misha sebagai penghibur yang bukan sekadar mahu penonton duduk menikmati persembahan, tetapi turut melibatkan mereka dalam kemeriahan malam tersebut.

Sepanjang kira-kira dua jam, penonton diberikan ruang untuk menikmati pelbagai suasana, daripada lagu yang menyentuh emosi kepada detik yang mengundang tawa dan menggerakkan mereka untuk menari.
Akhirnya, kekuatan Aku & Lelaki terletak pada bagaimana Misha menterjemahkan konsepnya menjadi sebuah persembahan yang terasa menyeluruh. Pemilihan lagu memberikan asas, vokal menjadi tarikan utama, manakala personaliti dan interaksi mesra melengkapkan pengalaman penonton.
Percaturan memilih tema yang memberi ruang kepada penerokaan karya penyanyi lelaki itu bukan sahaja menawarkan kelainan pada repertoir, malah memperlihatkan keluasan kemampuan Misha sebagai penyanyi dan penghibur. - Getaran, 26 Oktober 2026






