Alam Maritim perluas perniagaan luar pesisir ke Asia Tenggara dan India menerusi usaha sama dengan Trident Oceanus

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 5:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Alam Maritim perluas perniagaan luar pesisir ke Asia Tenggara dan India menerusi usaha sama dengan Trident Oceanus Image from: Alam Maritim perluas perniagaan luar pesisir ke Asia Tenggara dan India menerusi usaha sama dengan Trident Oceanus sarah13/11/2026 - 17:48 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov - Alam Maritim Resources Berhad memperluas peluang perniagaan perkhidmatan luar pesisir ke Asia Tenggara dan rantau India menerusi usaha sama dengan syarikat kejuruteraan Singapura, Trident Oceanus Pte Ltd, bagi meneroka peluang projek pengangkutan dan pemasangan infrastruktur luar pesisir.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, anak syarikat tidak langsungnya, Subsea Worldwide Solutions Sdn Bhd (SWS), telah memeterai perjanjian usaha sama dengan Trident bagi menubuhkan sebuah syarikat baharu di Malaysia untuk mengurus dan melaksanakan projek berkenaan.

 

Syarikat usaha sama itu akan dimiliki 70% oleh SWS dan 30% oleh Trident, dengan modal berbayar permulaan sebanyak RM10,000. SWS akan melabur RM7,000, manakala Trident menyumbang RM3,000, tertakluk kepada dokumen pemerbadanan dan langganan saham yang dimuktamadkan.

 

Gabung kepakaran projek minyak, gas dan tenaga luar pesisir

Alam Maritim berkata, kerjasama tersebut akan menggabungkan kepakaran SWS dalam pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur dasar laut, operasi kenderaan kawalan jauh serta pembinaan luar pesisir dengan keupayaan teknikal dan kejuruteraan Trident.

 

Trident, yang diperbadankan di Singapura pada 5 Januari 2026, menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan projek luar pesisir, khususnya pengangkutan serta pemasangan infrastruktur dasar laut bagi sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui luar pesisir.

 

SWS kuasai majoriti lembaga pengarah

Mengikut perjanjian, syarikat usaha sama itu akan mempunyai tiga pengarah, dengan dua wakil dilantik oleh SWS dan seorang oleh Trident. Pengerusi lembaga pengarah juga akan dinamakan oleh SWS, manakala keputusan penting tertentu, termasuk perubahan perniagaan utama dan pembiayaan di luar bajet yang diluluskan, memerlukan persetujuan kedua-dua pihak.

 

Keuntungan dan kerugian usaha sama akan diagihkan mengikut pegangan ekuiti masing-masing, iaitu 70% kepada SWS dan 30% kepada Trident, kecuali dipersetujui sebaliknya secara bertulis. Bagaimanapun, Alam Maritim tidak menyatakan nilai kontrak atau projek khusus yang telah diperoleh menerusi kerjasama tersebut.

 

Sebahagian strategi pengembangan selepas keluar PN17

Kerjasama itu menyusuli langkah Alam Maritim memperkukuh perniagaan perkhidmatan dasar laut selepas keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) pada Jun 2026. Kumpulan itu sebelum ini turut memperoleh peralatan kenderaan kawalan jauh (ROV) bagi meningkatkan keupayaan operasi bawah air.

 

Menurut laporan media sebelum ini, SWS mempunyai tiga pakej kontrak perkhidmatan bawah air di bawah rangka kerja Pan Malaysia sehingga 2029, dengan anggaran nilai kerja berbaki RM1.5 bilion. Perkembangan itu memberikan latar kepada usaha Alam Maritim mengembangkan perkhidmatannya ke pasaran luar Malaysia.

 

Alam Maritim menjangkakan usaha sama tersebut tidak memberi kesan ketara terhadap keuntungan sesaham, aset bersih sesaham atau tahap hutang kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, tetapi berpotensi menyumbang secara positif kepada keuntungan pada masa depan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved