sarah10/11/2026 - 11:01 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov - Gamuda Berhad menyasarkan untuk menggandakan hasil perniagaan pembinaannya dalam tempoh dua tahun, disokong buku tempahan bernilai RM64 bilion serta peningkatan permintaan terhadap pembinaan pusat data dan projek infrastruktur di pasaran antarabangsa.
Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling berkata, sasaran itu disokong projek yang telah diperoleh serta perancangan pembangunan baharu, dengan kira-kira 90% daripada buku tempahan sedia ada masih belum memasuki fasa pelaksanaan paling aktif.
Menurut beliau, keadaan itu dijangka mempercepat sumbangan pendapatan dan aliran tunai apabila lebih banyak projek meningkatkan aktiviti pembinaan mulai tahun kewangan 2027.
“Buku tempahan yang telah diperoleh serta kepastian terhadap projek dalam perancangan meletakkan kami pada kedudukan yang baik untuk menggandakan hasil pembinaan dalam tempoh dua tahun,” katanya dalam Laporan Bersepadu Gamuda 2026.
Pusat data jadi pemacu pertumbuhan
Yun Ling berkata, Gamuda kini melaksanakan projek pusat data dengan kapasiti keseluruhan 1.5 gigawatt (GW) pada satu-satu masa, menggunakan teknologi sistem pembinaan berindustri digital (IBS) bagi mempercepat pelaksanaan projek dan memenuhi permintaan pelanggan.
Beliau berkata, kebanyakan kapasiti pengeluaran IBS kumpulan telah dialihkan kepada pembinaan pusat data, dengan Gamuda berjaya melaksanakan 10 kemudahan pusat data berskala besar dalam tempoh lebih tiga tahun, termasuk memperoleh kontrak bernilai RM7 bilion bagi pembangunan kampus pusat data di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Pengembangan itu turut mencerminkan perubahan strategi Gamuda daripada pembinaan infrastruktur tradisional kepada projek teknologi berintensif modal tinggi, khususnya pusat data yang memerlukan kepakaran pembinaan, mekanikal, elektrikal dan penyediaan infrastruktur secara bersepadu.
Projek Australia dan Taiwan kukuhkan buku tempahan
Di pasaran antarabangsa, Gamuda terus memperluas kehadirannya di Australia selepas memperoleh projek Sydney Metro West–Parramatta Integrated Station Development bernilai RM2.54 bilion, menjadikan jumlah kerja dalam tangan kumpulan di negara itu melebihi AUD7 bilion (RM20 bilion).
Yun Ling berkata, kejayaan menyiapkan beberapa projek infrastruktur utama di Australia lebih awal daripada jadual telah meningkatkan kedudukan Gamuda sebagai kontraktor utama, dengan pasaran tersebut kini menyumbang kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan buku tempahannya.
Sementara itu, Gamuda turut memperkukuh operasi di Taiwan menerusi projek sistem dan landasan Keelung MRT bernilai RM3.7 bilion, yang merupakan kontrak ke-11 kumpulan di negara itu sejak memasuki pasaran berkenaan pada 2002.
Tenaga boleh diperbaharui buka peluang pendapatan berterusan
Dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, Gamuda sedang mengembangkan portfolio projek yang merangkumi solar, angin dan sistem penyimpanan tenaga bateri, termasuk cadangan pembangunan loji solar hibrid berkapasiti minimum 680 megawatt arus ulang-alik (MWac) di Perak bersama SD Guthrie dan Gentari.
Yun Ling berkata, cadangan kontrak pembekalan tenaga selama 21 tahun bagi projek tersebut dijangka memperkukuh peluang pendapatan berterusan kumpulan, khususnya apabila permintaan tenaga daripada pengendali pusat data terus meningkat.
Selain pembinaan dan tenaga, Gamuda Land turut menyasarkan jualan hartanah RM7 bilion pada tahun kewangan 2027, disokong pelancaran projek di Vietnam dan Singapura, manakala perniagaan hartanahnya dijangka menggandakan jualan serta pendapatan dalam tempoh tiga tahun.
Aktiviti pembinaan tingkat pelepasan karbon
Bagaimanapun, pertumbuhan aktiviti pembinaan turut meningkatkan cabaran alam sekitar apabila intensiti pelepasan karbon Skop 1 dan Skop 2 Gamuda pada tahun kewangan 2026 berada 49% lebih tinggi berbanding paras asas 2022, terutamanya akibat peningkatan kerja pembinaan termasuk projek Silicon Island di Pulau Pinang.
Walaupun berdepan peningkatan tersebut, Gamuda mengekalkan sasaran mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45% menjelang 2030 berbanding paras asas 2022, selain komitmen mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.- DagangNews.com






