hamden04/11/2026 - 10:32 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov - ISF Group Bhd (ISF) sedang meneroka peluang menyertai projek infrastruktur air berskala lebih besar, khususnya pembangunan loji rawatan air dan usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW), sebagai langkah mempelbagaikan sumber pertumbuhan kumpulan di luar sektor pusat data.
JF Apex Securities berkata, strategi itu membuka ruang kepada ISF untuk memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam kerja-kerja sistem paip, daripada pembangunan bangunan dan tapak projek kepada sektor utiliti awam yang menawarkan peluang projek berskala lebih besar.
Firma itu melihat langkah tersebut sebagai berpotensi memacu pertumbuhan jangka panjang kumpulan, khususnya ketika kerajaan mempergiat usaha menaik taraf infrastruktur bekalan air dan menggantikan rangkaian paip yang semakin usang.
Di bawah Belanjawan 2027, sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan kepada Program NRW Kebangsaan bagi menggantikan kira-kira 1,900 kilometer paip lama, selain pelaksanaan projek bekalan air termasuk loji rawatan air Machang di Kelantan.
Kontrak terbesar
Dalam perkembangan berkaitan, ISF menerusi anak syarikat milik penuhnya, Yeo Plumber Sdn Bhd (YPSB), memperoleh empat kontrak bernilai keseluruhan RM83.2 juta bagi kerja-kerja sistem paip dan pembetungan untuk projek pusat data hiperskala di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Penganugerahan itu merupakan kontrak terbesar dalam sejarah kumpulan dan membabitkan tiga perjanjian subkontrak serta satu surat penganugerahan (LOA).
Tiga subkontrak bernilai RM24.4 juta setiap satu, atau RM73.3 juta secara keseluruhan, dianugerahkan oleh sebuah syarikat kejuruteraan awam dan pembinaan bangunan tempatan.
Skop kerja merangkumi sistem air sejuk, sistem penuaian air hujan, rangkaian pengagihan air dan perkhidmatan sanitari, dengan tarikh siap masing-masing pada 10 Januari 2028, 22 April 2028 dan 22 Julai 2028.
Sementara itu, LOA bernilai RM9.9 juta dianugerahkan oleh sebuah pengilang dan pemasang panel konkrit pratuang tempatan bagi kerja-kerja pembetungan luaran menggunakan paip jacking tanah liat vitrifikasi, yang perlu disiapkan pada 23 November 2026.
JF Apex Securities menyifatkan pemerolehan kontrak RM83.2 juta itu sebagai perkembangan positif kerana nilainya lebih lima kali ganda berbanding pakej kerja pembetungan pusat data hiperskala bernilai RM14.5 juta yang diperoleh ISF pada awal tahun ini.
Perkembangan itu turut membuktikan keupayaan kumpulan untuk bersaing mendapatkan pakej projek yang lebih besar dan kompleks.
Potensi keuntungan
Dengan andaian margin keuntungan sebelum cukai (PBT) sekitar 25%, kontrak berkenaan berpotensi menyumbang kira-kira RM20.8 juta kepada PBT terkumpul sepanjang tempoh pelaksanaan sekitar 21 bulan, atau purata RM11.9 juta setahun.
Jumlah itu bersamaan kira-kira 20.5% daripada unjuran PBT FY27F penganalisis sebanyak RM58.1 juta.
JF Apex Securities mengekalkan saranan BELI terhadap saham ISF dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.03, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 24.2 kali ke atas perolehan sesaham (EPS) FY27F sebanyak 4.3 sen, selain penarafan ESG tiga bintang.
Antara risiko utama yang perlu diperhatikan termasuk peningkatan kos bahan binaan, kekurangan tenaga kerja serta penambahan kontrak baharu yang lebih perlahan daripada jangkaan. - DagangNews.com






