
Bekas pelawak, Shahrol Shiro, menziarahi keluarga Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi, 2, yang parah diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Wajah kesedihan jelas kelihatan pada keluarga mangsa, terutama abang sulung Nur Haira, Hanif, yang menyaksikan sendiri kejadian berkenaan.
“Saya nampak depan mata sendiri, darah cik,” kata Hanif ketika menceritakan kejadian itu kepada Shahrol.
Shahrol kemudian menenangkan Hanif dan memintanya supaya tidak menyalahkan diri sendiri serta terus kuat menghadapi keadaan tersebut.
“Hanif jangan salahkan diri Hanif terus, Hanif kena kuat,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, Nur Haira ditemui dalam keadaan berlumuran darah selepas diserang lima ekor anjing di hadapan rumah. Mangsa mengalami kecederaan parah termasuk kepala terkoyak dan pipi berlubang akibat gigitan haiwan berkenaan.
Nenek mangsa, Darlinda Darlis, 56, berkata, dia menyedari kejadian selepas terdengar keadaan di luar rumah dan mendapati lima ekor anjing sedang mengerumuni serta menggigit cucunya. Dia kemudian menjerit meminta pertolongan sebelum anaknya keluar menyelamatkan Nur Haira.
Baca juga:
Operasi besar-besaran buru anjing liar susulan kanak-kanak diserang- ‘Saya nampak dengan mata sendiri, darah cik’ -Abang mangsa serangan anjing
‘Pejabat PAS bukan imigresen akhirat untuk dapat visa syurga’- Mahfuz Omar
Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan lanjut. Akibat kecederaan parah, Nur Haira terpaksa ditidurkan dan menjalani pembedahan pada beberapa bahagian badan. Keadaannya dilaporkan stabil selepas pembedahan.
Darlinda berkata, keluarga sudah lama bimbang dengan kehadiran anjing liar yang kerap berkeliaran di sekitar rumah, malah ada yang tidur di hadapan kediaman. Haiwan itu dipercayai ditinggalkan pemburu selepas digunakan untuk memburu babi di kebun sawit berhampiran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan berhubung kecuaian berkaitan haiwan.
Sumber: Kosmo, Shahrol Azizie Azmi
The post ‘Saya nampak dengan mata sendiri, darah cik’ -Abang mangsa serangan anjing appeared first on The Reporter.






