
KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, bersyukur selepas penantian selama empat tahun menanti saat (dibebaskan) ini.”
Demikian kata penyokong kuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas diperkenan pengampunan bersyarat melalui tahanan rumah serta bayaran denda RM50 juta oleh Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini.
Radiah Rashid, 68, berkata, keputusan berkenaan amat dinantikan bukan sahaja dirinya malah penyokong serta rakyat Malaysia yang menyayangi bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Dia yang berasal dari Sungai Buloh berkata, tempoh empat tahun itu dipenuhi dengan doa dan harapan agar penantian mereka berakhir dengan khabar yang menggembirakan.
“Saya sebak sebab sudah lama kita menanti. Bukan kakak seorang, semua penyokong dan rakyat Malaysia yang sayangkan Datuk Seri menantikan saat ini.
“Alhamdulillah, alhamdulillah. Kita terus berdoa, terus memohon. Akhirnya, Allah Taala makbulkan doa kita pada hari Jumaat yang mulia ini, insya-Allah,” katanya ketika ditemui di hadapan kediaman Najib di Langgak Duta di sini hari ini.
Radiah berkata, dia menjangkakan lebih ramai penyokong akan hadir selepas solat Jumaat bagi bersama-sama menantikan perkembangan seterusnya.
“Selepas Jumaat ramai akan tiba, insya-Allah. Sama-sama kita tengok nanti. Saat yang sudah lama dinanti, empat tahun kan?” katanya.
Dia berharap agar Najib dapat kembali ke kediamannya dalam masa terdekat.
Terdahulu, Najib mendapat pengampunan bersyarat dengan beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib.
Menurut kenyataan itu, pengampunan berkenaan membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda sebanyak RM50 juta.
“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal.
“Beliau hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” katanya.-UTUSAN
The post Alhamdulillah, penantian selama empat tahun – penyokong Najib appeared first on Utusan Malaysia.






