Tiada kelibat penyokong Najib di Penjara Kajang

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 3:54 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiada kelibat penyokong Najib di Penjara Kajang

KAJANG: Tiada kelibat penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di hadapan Penjara Kajang di sini hari ini meskipun beliau mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Tinjauan Utusan Malaysia setakat pukul 3.30 petang, lebih 20 petugas media masih menunggu di pintu luar laluan masuk Penjara Kajang.

Suasana kelihatan tenang dan terkawal sejak pagi biar pun di peringkat awal terdapat desas-desus Najib akan dibawa ke rumahnya bagi menjalani tahanan rumah.

Utusan Malaysia juga mendapati hanya terdapat pergerakan harian kenderaan logistik dan jabatan.

Terdapat beberapa petugas penjara berada di hadapan pintu utama Penjara Kajang bagi memantau situasi tersebut.

Sebelum itu, media melaporkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

BHEUU dalam kenyataan memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara pada Jumaat.

Najib, 73, sebelum ini disabitkan kesalahan menyalahgunakan RM42 juta milik SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan separuh hukuman penjara beliau kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – UTUSAN 

 

The post Tiada kelibat penyokong Najib di Penjara Kajang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved