Alhamdulillah, PMX mendengar suara industri – Yusof Haslam

LocalEntertainment
9 Oct 2026 • 8:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Alhamdulillah, PMX mendengar suara industri – Yusof Haslam

PETALING JAYA – Pengasas Skop Productions, Datuk Yusof Haslam menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau mendengar keluhan penggiat industri perfileman, khususnya berhubung beban cukai duti hiburan.

Yusof, 72, berkata dia pernah membangkitkan isu cukai duti hiburan sebanyak 25 peratus ketika bertemu Anwar kira-kira enam bulan lalu, namun tidak menyangka perkara itu mendapat perhatian sehingga kerajaan mengambil langkah membantu industri kreatif tempatan.

“Ketika pertemuan dengan PMX di pejabat beliau enam bulan lalu, saya ada menyuarakan mengenai cukai duti hiburan sebanyak 25 peratus. Bagi kami sebagai pembikin filem, kadar itu agak membebankan.

“Saya ada memberitahu bahawa cukai kita antara paling tinggi di dunia. Saya tidak sangka perkara tersebut mendapat perhatian beliau. Jadi, saya sangat berterima kasih kepada PMX atas keprihatinan ditunjukkan.

“Alhamdulillah, PMX mendengar suara industri,” katanya kepada Kosmo! Online.

Dalam pada itu, Yusof mengingatkan penggiat seni supaya menilai situasi semasa secara rasional dan menghargai bantuan kerajaan, mengambil kira keadaan ekonomi serta tanggungjawab lain perlu dipikul negara.

Katanya, industri kreatif perlu terus diberikan perhatian, namun penggiat seni juga harus memahami kemampuan kerajaan dalam menyalurkan peruntukan bagi membantu pelbagai sektor serta lapisan masyarakat.

“Bagi saya, kita kena bersikap rasional. Keadaan industri dan dunia sekarang semakin mencabar. Apa yang kita dapat ini pun wajar disyukuri kerana kerajaan mempunyai banyak lagi tanggungjawab, termasuk membantu masyarakat di luar bandar.

“PMX juga tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Bagi saya, selagi industri seni tidak tercicir daripada perhatian kerajaan setiap tahun, kita sudah patut bersyukur.

“Mungkin selepas ini lebih banyak bantuan dapat disalurkan apabila ekonomi negara semakin kukuh,” ujarnya.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket tayangan filem tempatan dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan bermula 2027.

Kerajaan turut memperuntukkan lebih RM130 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh sektor perfileman, muzik serta kandungan kreatif tempatan.

Selain itu, insentif tambahan disediakan kepada karya kreatif mengetengahkan budaya dan identiti negara sebagai usaha memperkenalkan keunikan Malaysia kepada penonton antarabangsa.

Industri animasi tempatan turut menerima suntikan baharu menerusi pembangunan 20 harta intelek (IP) baharu, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk watak serta karya ciptaan Malaysia menembusi pasaran global. – KOSMO! ONLINE

The post Alhamdulillah, PMX mendengar suara industri – Yusof Haslam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved