Pengecualian duti hiburan tidak bermaksud harga tiket wayang makin murah – Yusof Haslam

LocalMovie
9 Oct 2026 • 6:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pengecualian duti hiburan tidak bermaksud harga tiket wayang makin murah – Yusof Haslam

PETALING JAYA: Pengarah Urusan Skop Productions, Datuk Yusof Haslam berkata, pengecualian duti hiburan di Wilayah Persekutuan bermula tahun hadapan tidak bermaksud harga tiket wayang akan mengalami penurunan.

Yusof, 72, berkata kadar harga tiket wayang semasa di negara ini masih berada pada tahap yang relevan berbanding negara-negara jiran.

“Harga tiket wayang tetap sama. Bagi saya, harga sekarang sudah logik. Kita bukan lagi berada dalam zaman 30 tahun lalu. Sewaktu saya menghasilkan filem Sembilu, harga tiket baru RM4, tetapi gaji ketika itu sekitar RM1,000.

“Hari ini, gaji rata-rata sudah mencecah RM3,000 ke atas dan harga barang makanan juga meningkat. Dulu kos Sembilu hanya sekitar RM500,000 ke RM700,000, tetapi sekarang kos pembikinan filem sudah melambung tinggi. Apa yang diberikan kerajaan ini adalah bentuk keprihatinan terhadap industri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mengulas mengenai tanggapan bahawa harga tiket wayang akan semakin berkurangan tahun hadapan, Yusof berkata masyarakat perlu sedar akan cabaran yang dilalui oleh pihak panggung.

Katanya, pihak panggung turut terjejas akibat kerugian selepas munculnya platform penstriman.

“Pengecualian duti hiburan tiada kaitan dengan harga tiket. Cukai ini ibarat cukai pendapatan (income tax). Pelepasan ini diberi kerana pengusaha pawagam sekarang tengah merana dan sambutan penonton semakin berkurangan.

“Kita kena faham, jangan sampai pawagam ditutup. Jika itu terjadi, industri filem kita akan lumpuh. Cukai 25 peratus yang kita hadapi sebelum ini adalah antara yang tertinggi di dunia berbanding India yang hanya enam peratus dan Singapura 10 peratus,” jelasnya.

Dalam pada itu, Yusof turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) atas keprihatinan mendengar keluhan penggiat seni sebelum ini.

Kata Yusof, sebelum ini dia bertemu dengan PMX bagi memohon pengurangan cukai, namun tidak menyangka kerajaan bersetuju memberikan pengecualian penuh di Wilayah Persekutuan.

“Walaupun jumlah itu tidaklah sebesar mana, kita harus faham kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar. Kita kena fikir juga masyarakat luar bandar yang lebih memerlukan bantuan.

“Harapan saya, peruntukan ini dapat ditingkatkan lagi pada masa hadapan apabila ekonomi negara kembali stabil,” katanya.

The post Pengecualian duti hiburan tidak bermaksud harga tiket wayang makin murah – Yusof Haslam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved