
KUALA LUMPUR: Pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027 berpotensi memberikan manfaat ekonomi jangka panjang yang lebih besar kepada industri perfileman negara berbanding perbezaan RM10 juta dalam peruntukan sektor kreatif.
Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan pengiktirafan terhadap perjuangan panjang penggiat seni tempatan.
Beliau berkata, pengecualian berkenaan bukan sahaja dapat meringankan beban industri, malah berpotensi membantu karya tempatan menjana pulangan lebih baik apabila ditayangkan kepada penonton.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027.
“Bagi saya, ini bukan sekadar pengumuman Belanjawan, sebaliknya satu pengiktirafan terhadap perjuangan panjang penggiat seni tempatan. Hari ini, saya rasa suara anak seni akhirnya didengari,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Afdlin berkata, meskipun peruntukan bagi sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif diumumkan melebihi RM130 juta berbanding RM140 juta yang dirujuk bagi tahun sebelumnya, perkara itu perlu dilihat daripada perspektif lebih luas.
“Kalau kita hanya melihat RM10 juta yang berkurangan, kita mungkin terlepas pandang nilai ekonomi yang boleh dijana apabila satu beban cukai terhadap karya tempatan dihapuskan.
“Peruntukan kerajaan membantu industri untuk menghasilkan karya. Tetapi pengecualian duti hiburan berpotensi membantu karya tersebut menjana pulangan yang lebih baik apabila sampai kepada penonton,” katanya.
Menurutnya, dana pembangunan dan insentif produksi sememangnya penting, namun keupayaan sesebuah filem menjana pendapatan serta mengembalikan modal kepada penerbit juga perlu diberikan perhatian.
Beliau percaya, jika dilaksanakan secara menyeluruh dan manfaatnya benar-benar sampai kepada penggiat industri, pengecualian itu mampu meningkatkan daya maju ekonomi perfileman tempatan, malah manfaat jangka panjangnya berpotensi mengatasi perbezaan RM10 juta dalam peruntukan berkenaan.
“Industri kreatif tidak boleh selama-lamanya hanya bergantung kepada bantuan kerajaan. Kita mesti membina industri yang mampu menjana pendapatan, mengembangkan perniagaan dan berdiri atas kekuatan sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, Afdlin berkata, pengumuman berkenaan yang pada peringkat awal hanya melibatkan Wilayah Persekutuan perlu diperluaskan dengan mengambil kira filem Malaysia ditayangkan dan ditonton di seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan negeri supaya mempertimbangkan pelaksanaan langkah sama, selaras dengan seruan Perdana Menteri.
Terdahulu, Anwar turut memaklumkan mengenai pemberian pengecualian duti hiburan bagi aktiviti kesenian, kebudayaan, hiburan serta sukan yang diadakan di Stadium Merdeka dan Stadium Negara.
Peruntukan lebih RM130 juta itu termasuk pemberian insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalani penggambaran di Malaysia dan insentif tambahan bagi karya yang menampilkan budaya dan kenegaraan.
Bagi menggalakkan usaha penggiat kreatif animasi tempatan, kerajaan bersetuju untuk terus memperkukuhkan ekosistem animasi tempatan untuk 20 harta intelek baru serta mengkomersialkan watak Malaysia di pentas dunia.
The post Pengecualian duti hiburan mampu beri manfaat lebih besar kepada industri filem – Afdlin Shauki appeared first on Utusan Malaysia.





