
PETALING JAYA – Aliff Daniel Adli bersama ibu dan adik perempuannya melafazkan taubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah dalam Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, hari ini.
Dalam pengisytiharan tersebut, Aliff Daniel mengakui pernah melakukan pelbagai amalan dan ritual keagamaan selain Islam yang bertentangan dengan hukum syarak sehingga mencetuskan penghinaan terhadap agama Islam serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Dia yang melafazkan pengisytiharan taubat secara terbuka turut mengakui pernah berpuasa selama seminggu mengikut kepercayaan agama Hindu dengan hanya memakan sayur-sayuran dan minum air sebelum menyertai ritual keagamaan sempena perayaan Thaipusam pada Januari 2024.
Menurutnya, perbuatan itu dilakukan di sebuah kuil di Batu Caves, Gombak, Selangor atas alasan bernazar untuk kesembuhan ibunya, kebahagiaan keluarga, penghapusan dosa dan penyucian diri.
Bagi melaksanakan ritual berkenaan, dia memakai pakaian vesti berwarna putih, kalungan bunga malai dan tasbih kayu, selain mencucuk trisula pada pipi serta vel pada lidah, membawa palkudam atau bekas susu dan menjunjung kavadi sebelum melakukan upacara di dalam kuil.
“Saya menyedari bahawa perlakuan saya demikian adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam dan bercanggah dengan prinsip pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya ketika membacakan pengisytiharan taubat.
Dia turut mengakui pernah melakukan pelbagai bentuk rawatan menggunakan mantera yang bukan bersumberkan ajaran Islam serta mencampurkan amalan kepercayaan dan unsur agama lain dalam kaedah rawatan spiritual.
Sehubungan itu, Aliff Daniel berjanji tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan, sebaliknya berusaha mendalami ilmu agama dan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan pengetahuan yang benar.
“Saya insaf dan berazam untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Rohizayanti Ramli dalam pengisytiharan taubat turut mengakui kelemahan dan kegagalannya melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu sehingga menyebabkan anaknya terjebak dengan fahaman serta amalan yang menyimpang daripada akidah Islam.
Rohizayanti mengakui perkara itu berpunca daripada kekurangan ilmu agama, kelekaan terhadap urusan duniawi serta kelemahan dalam memantau dan membimbing pemikiran, pergaulan serta persekitaran anaknya.
“Saya mengakui telah terleka daripada memelihara fitrah asal dan memimpin anak kandung saya sehingga menyebabkan dia terjebak, terpengaruh dan mengamalkan fahaman serta doktrin yang terpesong daripada pegangan akidah Islam yang benar,” katanya.
Rohizayanti turut berikrar untuk kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam, membersihkan diri dan keluarga daripada sebarang amalan yang menyeleweng serta meningkatkan kefahaman agama dengan menghadiri kelas pengajian yang sahih dan bertauliah.
Adik perempuan Aliff Daniel, Nur Ranea Ezreen yang juga pelakon pula mengakui kekesalan atas kelemahan dirinya dalam menjaga kemurnian institusi kekeluargaan, termasuk kegagalan memberikan teguran, nasihat dan sokongan secukupnya sehingga abangnya terpengaruh dengan amalan ritual.
“Saya mengaku dan menyesali sekiranya terdapat tindakan, sikap acuh tak acuh, kelekaan masa lalu atau kegagalan saya dalam memberikan teguran, nasihat dan benteng sokongan yang secukupnya sehingga membiarkan persekitaran atau pengaruh luar merosakkan pegangan agama abang saya,” katanya.
Dia turut berazam memperbaiki diri, memperkukuh pegangan akidah serta membantu memulihkan abangnya melalui pendekatan kasih sayang, doa berterusan dan kerjasama dengan pihak berkuasa agama.
Dalam majlis tersebut, ketiga-tiga mereka kemudian melafazkan dua kalimah syahadah sebagai tanda keinsafan dan tekad untuk kembali menghayati ajaran Islam serta memohon keampunan Allah SWT. – KOSMO! ONLINE
The post Aliff Daniel, ibu, adik lafaz taubat, ucap syahadah appeared first on Kosmo Online.






