“Saya Kembali Ke Jalan Islam” – Aliff Daniel Selesai Isytihar Taubat, Akui Pernah Amalkan Ritual Agama Lain [Video]

5 Nov 2026 • 4:50 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Saya Kembali Ke Jalan Islam” – Aliff Daniel Selesai Isytihar Taubat, Akui Pernah Amalkan Ritual Agama Lain [Video]

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Aliff Daniel Adli, 21, yang sebelum ini tular melakukan ritual agama lain telah selesai melafazkan taubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah dalam Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini (5 November).

Pengisytiharan taubat itu turut dilakukan bersama ibu dan adik perempuannya di hadapan saksi utama iaitu Mufti Utama, Datuk Dr Anhar Opir; Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Akidah MAIS, Datin Paduka Dr Khadijah Khambali@Hambali.

Semasa majlis itu berlangsung, Aliff mengakui pernah melakukan pelbagai amalan dan ritual keagamaan selain Islam yang bertentangan dengan hukum syarak sehingga mencetuskan penghinaan terhadap agama Islam serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Pernah Ikuti Ritual Agama Hindu Termasuk Berpuasa Sempena Thaipusam Serta Cucuk Trisula Pada Pipi – Aliff

Dia juga mengakui pernah berpuasa selama seminggu mengikut kepercayaan agama Hindu dengan hanya memakan sayur-sayuran dan minum air sebelum menyertai ritual keagamaan sempena perayaan Thaipusam pada Januari 2024.

Jelasnya semasa upacara perayaan di sebuah kuil terletak di Batu Caves Selangor itu, dia telah memakai pakaian vesti berwarna putih, kalungan bunga malai dan tasbih kayu di leher, selain mencucuk trisula pada pipi serta vel pada lidah, membawa palkudam atau bekas susu dan menjunjung kavadi sebelum melakukan upacara.

Pernah Baca Mantera Mengikut Ajaran Agama Lain Untuk Tujuan Rawatan – Aliff

Aliff dalam masa sama mengakui dia pernah membaca pelbagai mantera yang tidak berlandaskan agama Islam untuk tujuan rawatan.

Jelasnya, dia melakukan perkara itu tanpa tekanan dan paksaan oleh mana-mana pihak yang akhirnya membawa kepada penghinaan terhadap agama Islam.

“Saya Sedar Perbuatan Saya Bercanggah Dengan Prinsip Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah” – Aliff Daniel

Dalam pada itu, Aliff berkata dia pernah terlibat dalam ritual agama Hindu dan Budha di Indonesia, India serta Thailand.

“Saya menyedari bahawa perlakuan saya demikian adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam dan bercanggah dengan prinsip pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan boleh mencetuskan perbuatan tidak mengikuti atau melampaui aturan Islam sebagai agama yang sempurna serta lengkap dalam mengatur kehidupan umatnya.

“Saya juga menyedari bahawa perbuatan saya telah menyebabkan kegusaran awam, kekeliruan serta menyebabkan kecenderungan yang boleh gugat keamanan dan ketenteraman awam,” katanya ketika membacakan pengisytiharan taubat.”

‘Saya Menyesali, Insaf & Berjanji Tak Akan Lagi Ulangi Perbuatan’ – Aliff

Dalam pada itu, Aliff berjanji tidak akan lagi mengulangi perbuatannya terdahulu dalam mengamalkan ritual agama lain.

“Saya saya menyesal, menginsafi dan berjanji pada diri saya bahawa saya tidak sama sekali akan mengulangi (perbuatan) pada bila-bila masa pun dengan apa jua cara yang boleh membawa kepada keadaan yang telah dinayatakan.

“Dengan ini, saya sesungguhnya bertaubat kembali ke pangkal jalan, berusaha untuk belajar mendalami dan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan pengetahuan dan ilmu yang benar.

“Saya insaf dan berazam untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik daripada sebelumnya selain meyakini akidah Islam yang jazam serta bertingkah laku mengikut akhlak Islam.”

Aliff Seru Pihak Yang Terpengaruh Dengan Amalannya Agar Kembali Ke Jalan Islam

Justeru, Aliff menyeru agar mana-mana pihak atau individu Muslim yang terpengaruh dengan amalannya supaya menghentikan dan kembali kepada ajaran Islam selain mendapatkan bimbingan daripada guru bertauliah atau pihak Pejabat Agama, mufti dan Jabatan Islam Negeri.

‘Saya Benar-benar Taubat & Akan Berusaha Memperbaiki Diri’ – Aliff Daniel

“Tanpa paksaan daripada mana-mana pihak, dengan suci hati dan lafaz Lailahaillallah Muhammadarrasulullah saya bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat akan berusaha membaiki diri, menimba ilmu dan mengamalkan perintah agama Islam untuk saya menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang baik.

“Serta menjaga maruah, keluarga saya, umat dan agama Islam sebagai satu-satunya jalan atau cara hidup yang betul,” lafaznya.

Ibu Aliff Akui Terleka Pelihara Fitrah Asal & Pimpin Anak Hingga Sebabkan Terpesong Dari Ajaran Islam

Sementara itu, ibunya, Rohizayanti Ramli dalam pengisytiharan taubat itu turut mengakui kelemahan dan kegagalannya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu sehingga menyebabkan anaknya terjerumus dalam perbuatan yang menjejaskan akidah.

“Saya mengakui telah terleka daripada memelihara fitrah asal dan memimpin anak kandung saya sehingga menyebabkan dia terjebak, terpengaruh dan mengamalkan fahaman serta doktrin yang terpesong daripada pegangan akidah Islam yang benar,” katanya.

Rohizayanti turut berikrar untuk kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam, membersihkan diri dan keluarga daripada sebarang amalan yang bercanggah syarak itu.

Dalam masa sama, adik perempuan Aliff Daniel, Nur Ranea Ezreen yang juga pelakon pula mengakui kekesalan atas kelemahan dirinya dalam menjaga kemurnian institusi kekeluargaan, termasuk kegagalan memberi teguran, nasihat dan sokongan secukupnya sehingga menyebabkan abangnya terpengaruh dengan amalan ritual.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Islam Tular Didakwa Jalankan Ritual Agama Lain Telah Ditahan Bersama Ibu – JAIS

Baca Artikel Berkaitan: Tular Remaja Melayu Didakwa Buat Ritual Bukan Islam, JAKIM Jalankan Siasatan

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved