
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman untuk menangguhkan permohonan maafnya kepada veteran politik Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berhubung fitnah hutang pelaburan puluhan juta ringgit.
Perkara itu dimaklumkan peguam Mahmud Abdul Jumaat yang mewakili Aliff Syukri, 39, selaku pemohon ketika dihubungi di sini hari ini selepas prosiding kes di hadapan Hakim Roslan Mat Nor.
Menurut peguam itu, mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Aliff Syukri selaku pemohon.
“Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan bagi perintah permohonan maaf dan perintah bagi menghapuskan terbitan,” kata peguam itu.
Selain permohonan maaf, pada masa sama, mahkamah turut membenarkan cadangan defendan (Aliff Syukri) agar pembayaran RM250,000 bagi pembayaran ganti rugi untuk dibayar kepada peguam plaintif (Abdul Kadir) sebagai pemegang amanah sementara perlupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Namun, mahkamah menolak pemohonan defendan bagi penggantungan perlaaksanaan bagi larangan untuk tidak menerbitkan apa-apa siaran yang mempunyai kesan sama atau serupa memfitnah plaintif,” kata peguam itu.
Pada 29 April lalu, Hakim Roslan mengarahkan Aliff Syukri membayar RM250,000 kepada Abdul Kadir selepas membenarkan saman yang dikemukakan Abdul Kadir selaku plaintif terhadap Aliff Syukri selaku defendan.
Dalam penghakimannya, Hakim Roslan berkata maruah dan nama baik seseorang adalah sesuatu yang amat berharga yang mana ia tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta.
Mahkamah berpendapat terdapat saluran undang-undang yang terbuka untuk defendan mengemukakan tuntutan hutang atau sebarang hak kepada plaintif yang mana undang-undang tersebut akan membolehkan tuntutan tersebut diputuskan menurut peruntukan undang-undang.
Abdul Kadir, 86, memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan mendakwa Aliff Syukri yang terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai di media sosial mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.
Plaintif mendakwa kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta ringgit selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.
Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.
Sementara Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaan mendakwa beliau membuat bayaran pelaburan RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
Dakwanya, pihak-pihak di dalam perjanjian usahasama gagal membuat pembayaran wang yang dilaburkan selain segala pelanggaran-pelanggaran janji sedemikian termasuk aku janji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri. – KOSMO! ONLINE
The post Aliff Syukri dapat tangguh minta maaf kepada Abdul Kadir appeared first on Kosmo Digital.






